UKM Bantu Tangkis Serangan COMANGO Di Arena Antarabangsa

JUMAAT, 14 MAC 2014 08:00

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Osman

BANGI, 12 Mar 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan universiti lain dijangka menyertai satu badan pemikir khas bagi menangkis tuntutan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) yang melobi masyarakat antarabangsa supaya menekan Malaysia meminda undang-undang yang memelihara kedudukan Melayu, Agama Islam dan menentang seks songsang.

Nasharudin Mat Isa, ahli Jawatankuasa MuslimUPRo, kumpulan NGO yang membela nasib Islam dan Melayu, berkata badan pemikir tersebut akan dipilih daripada kalangan tenaga pengajar universiti dan mereka akan dilatih untuk memahami proses yang terkandung dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) serta mekanisme hak asasi manusia.

Berucap di Seminar Islam Dan Hak Asasi Manusia: Ancaman Tuntutan COMANGO Dan Masa Depan Malaysia, anjuran bersama UKM dan Yayasan Dakwah Islam Malaysia (YADIM) di sini hari ini, Nasharudin berkata antara lain, pasukan itu terdiri dari peguam undang-undang antarabangsa, mereka yang fasih bahasa Perancis dan pakar perhubungan awam.

Ia akan mempelajari selok-belok diplomasi, lobi-melobi dan hubungan awam bagi menentang kempen Gabungan NGO Malaysia bagi Proses Semakan Hak Asasi Manusia Sejagat (COMANGO) yang memburukkan negara di persada antarabangsa.

Usaha MuslimUPRo itu akan dibantu negara Islam lain yang juga menghadapi masalah sama mengenai undang-undang Syariah oleh pihak yang membidas mereka di Majlis Hak Asasi Manusia (HRC), Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

“Di peringkat ini, Fakulti Pengajian Islam dan Fakulti Undang-undang (UKM) bersama Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) boleh berganding bahu menjalin kerjasama dengan MuslimUPRo,” katanya.

Mereka mesti bersedia menghadapi sesi semakan berkala HRC pada tahun 2017 di Geneva, Switzerland selepas COMANGO mengemukakan aduan mengenai keadaan hak asasi Malaysia pada sesi Oktober tahun 2013, yang mana mereka menuntut status kesamarataan semua agama dan mempersoalkan undang-undang Syariah.

COMANGO juga menuntut supaya identiti jantina selain daripada lelaki dan perempuan, iaitu ‘lesbians, gays, bisexuals dan tukar jantina’ (LGBT) di iktiraf dengan hak mereka sendiri sebagai SOGI atau Sexual Orientation and Gender Identity.

“Penubuhan badan pemikir berteraskan Islam ini amat penting untuk menanggani arus Islamophobia dan hak asasi manusia fahaman sekular di peringkat negara dan antarabangsa,” katanya semasa membentangkan kertas kerjanya pada seminar itu.

Nasharudin yang juga Pengerusi Yayasan Nassar turut mencadangkan supaya kerajaan menerapkan subjek Pendidikan Hak Asasi Manusia dalam sistem pendidikan negara di peringkat sekolah dan universiti.

Mantan Timbalan Presiden PAS itu berkata langkah demikian perlu bagi mewujudkan barisan pelapis kepada cendikiawan MuslimUPRo untuk menanggani pelbagai tuntutan yang bertentangan dengan Perlembagaan dan Islam oleh pihak tertentu pada masa hadapan.

Nasharuddin dan ahli jawatankuasa lain MuslimUPRo akan bertolak ke Geneva, pada 20 Mac ini untuk memerhati secara rasmi penerimaan muktamad syor yang telah dikemukakan kepada kerajaan Malaysia pada Oktober 2013.

Beliau menjangkakan pihaknya akan menghadapi sedikit kesukaran untuk memasuki sesi tersebut ekoran tindakan memburuk-burukkan MuslimUPRo oleh COMANGO.

Di antara lain, COMANGO mendakwa MuslimUPRo terdiri daripada pengganas dan fundamentalis semata-mata kerana ia mendokong undang-undang Syariah dan menentang budaya seks luar tabii.