UKM Dipuji Kerana Beri Ruang Pelajarnya Memahami Pelbagai Budaya

SELASA, 18 MAC 2014 12:08

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 17 Mac 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dipuji kerana memberi ruang kepada pelajarnya memahami pelbagai budaya dan tradisi masyarakat majmuknya.

Ketua Pemuda MCA Chong Sin Woon berucap di majlis makan malam Ang Pau di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR) di sini baru-baru ini berkata UKM dalam pada itu telah juga memainkan peranan yang penting dalam mengekalkan identiti negara.

Beliau mengucapkan tahniah kepada urusetia majlis itu dan telah menyampaikan derma RM10,000 dari MCA kepada urusetia itu bagi menjayakan jamuan tersebut.

Dengan pelbagai program kebudayaan yang diadakan setiap tahun di UKM oleh pelajar-pelajar dan kakitangan, Chong percaya bahawa ia bukan sahaja diadakan bagi mengekalkan pelbagai budaya dan tradisi yang wujud dalam negara tetapi juga telah mengajar dan mendedahkan warga asing kepada pelbagai adat dan budaya di Malaysia.

Beliau berkata kesediaan pelajar UKM untuk berkongsi pengalaman dan mengadakan program kebudayaan demikian bukan sahaja telah mendedahkan mereka kepada budaya pelbagai masing-masing tetapi mengajar mereka berfikiran terbuka dan bersedia untuk melakukan kerja-kerja berpasukan.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Hubungan Antarabangsa), Prof Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat telah hadir di majlis itu.