UKM Menentang Sebarang Perlakuan Ciplak

ISNIN, 31 MAC 2014 09:09

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 27 Mac 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menentang sebarang perlakuan ciplak atau plagiat tetapi pelajarnya yang didapati berbuat demikian akan diberi kaunseling dan dibantu untuk menyiapkan tesis mereka tanpa dikenakan hukuman.

Ketika melancarkan Kempen ‘Kesedaran Plagiarisme’ anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) di sini hari ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Hal Ehwal Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah OK Rahmat berikrar UKM akan berupaya untuk menghasilkan graduan yang beretika dan yang tidak menciplak karya orang lain.

Beliau mengucapkan tahniah kepada FSSK kerana berusaha mencegah perlakuan itu untuk menjaga kewibawaan universiti. Cogan kata kempen ialah “Jadilah Bijaksana, Jangan Memplagiat”.

Slogan “plagiarisme boleh dan mesti dielakkan” adalah satu cara yang berkesan untuk menjamin hasrat murni UKM itu didukung dan beliau berharap kempen itu akan menjadi contoh kepada fakulti lain di UKM.

UKM, katanya, berhasrat menentukan graduannya mudah mendapat pekerjaan sambil mempunyai daya kreativiti yang boleh memberi impak besar dan ketara kepada masyarakat dan industri.

Ini bermakna graduan UKM secara automatik akan dicari oleh majikan, walaupun sebelum tamat pengajian mereka, kata Prof Riza.

Graduan UKM, katanya, bukan sahaja akan mempunyai identiti nasional tetapi beretika tinggi, mahir serta berpengetahuan untuk meneroka bidang baru. Ini akan menentukan mereka akan dapat bersaing di alam pekerjaan.

Kebolehan sedemikian akan tercapai jika asas universiti dibina di atas tiang integriti dan kejujuran, kata beliau lagi.

Beliau menyatakan bahawa UKM komited untuk membawa kemajuan serta berusaha terhadap pembangunan masyarakat yang dinamik dan bermoral tinggi.

Graduannya juga perlu menyokong pembelajaran sepanjang hayat dan mereka sendiri menjadi pelajar sepanjang hayat. Selain itu setiap warganya juga harus mempunyai kemahiran, berintegriti dengan nilai-nilai etika selain sentiasa sensitif terhadap sebarang perubahan dalam masyarakat.

Turut hadir pada pelancaran kempen itu ialah Dekan FSSK Prof Dr Hazita Azman dan Pengerusi kempen itu Prof Madya Dr Jamaluddin Aziz.