Cara Berkesan Untuk Pendigitalan Bahan Perpustakaan

RABU, 28 MEI 2014 10:27

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 26 Mei 2014 – Perisian untuk perpustakaan universiti dan arkib akademik tidak semestinya mahal malah boleh didapati secara percuma. Ia bagaimanapun memerlukan pustakawan terlatih untuk menggunakannya secara berkesan.

Seorang bekas pustakawan Universiti Oxford, Dr Richard Gartner berkata kebanyakan sistem pengurusan aset digital yang beliau gunakan adalah Sistem Maklumat Arkib Terbuka (OAIS), seperti Fedora dan Islandora yang boleh digunakan untuk membuat pencarian dari pelbagai jenis aset digital yang menyimpan maklumat dan data besar-besaran.

Dalam ceramahnya kepada ahli akademik dan pelajar Pusat Pengajian Media dan Komunikasi (PPMK) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Dr Gartner yang mengajar di King’s College London (KCL), berkata Islandora boleh mengecam mana-mana jenis fail apabila digunakan dengan Fedora.

Beliau menerangkan bagaimana perpustakaan boleh dijaringkan dan penyelidikannya mengenai metadata perpustakaan digital, khususnya pembangunan dan aplikasi XML.

Beliau telah melakukan pelbagai projek mengenai pencemaran sungai hingga ke sejarah Eropah dengan menggunakan sumber arkib sistem terbuka yang terbukti memuaskan.

Metadata adalah “data mengenai data”. Metadata berfungsi seperti kad katalog perpustakaan manakala buku atau manuskrip yang diindeks dalam kad tersebut adalah data sebenar. Tujuan utama metadata adalah untuk memudahkan pencarian maklumat yang relevan biasanya diklasifikasikan sebagai sumber penemuan.

XML (Extensible Markup Language) adalah cara yang fleksibel untuk mewujudkan format maklumat yang sama dan berkongsi kedua-dua format dan data di internet, intranet dan media lain.

Beliau menerangkan bagaimana baik pun sesuatu sistem arkib, sejumlah besar manusia masih diperlukan untuk mengimbas bahan dan fakta.

“Komputer tidak boleh menyemak kesilapan fakta ketika membuat imbasan. Hanya manusia boleh berbuat demikian,” katanya.

Salah satu projeknya ialah membantu menubuhkan hubungan Rekod Parlimen England melalui Metadata (LIPARM).

LIPARM adalah projek untuk mewujudkan piawaian format data untuk prosiding di Parlimen itu, seperti ucapan anggotanya dan laporan pelbagai jawatankuasa. Ini memudahkan lagi penyelidikan mengenainya,” kata Dr Gartner.

Projek LIPARM ditubuhkan dalam tempoh satu tahun untuk mewujudkan skema metadata XML – cara penstrukturan dan pelabelan maklumat supaya ia mudah dianalisis dan dibandingkan – dikenali sebagai Bahasa Metadata Parlimen atau PML.

Minat utama penyelidikannya ialah penggunaan metadata untuk mengintegrasikan sumber digital rumit dan pelbagai serta peranan standard bagi memudahkan pencarian maklumat yang disimpan di dalamnya. Minatnya yang lain termasuk teknik perpustakaan digital serta kaedah dan peranan perpustakaan digital dalam pembangunan antarabangsa dan ilmu muzik.

Menurut laman sesawang King’s College, Dr Gartner ialah pensyarah yang mempunyai kepakaran dalam bidang perpustakaan digital dan penyediaan maklumat elektronik selama lebih 20 tahun.

Sebelum menjadi pensyarah, beliau adalah pustakawan media baru untuk Perpustakaan Universiti Oxford. Beliau bertanggungjawab untuk memperkenalkan Internet ke dalam Perpustakaan Bodleian, rangkaian CD-ROM pertama dan projek pengimejan digital pertama. Beliau kini menumpu perhatiannya  terhadap metadata untuk perpustakaan digital.