Daun Kadok: Harapan Baru Untuk Rawatan Osteoporosis

ISNIN, 12 MEI 2014 15:48

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

KUALA LUMPUR, 8 Mei 2014 – Sejenis daun tumbuhan yang biasa digunakan dalam masakan Melayu mengandungi anti-oksidan yang mungkin boleh membantu melindungi tulang dari dilanda penyakit osteoporosis.

Seorang penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Elvy Suhana Mohd Ramli dan pasukan penyelidiknya mendapati bahawa daun kadok atau piper sarmentosum mengandungi bahan penawar untuk mencegah retak tulang dan mempercepatkan penyembuhan retakan tulang.

Dr Elvy Suhana memberitahu Portal Berita UKM di Institut Perubatan Molekul UKM (UMBI) di sini baru-baru ini bahawa daun kadok berupaya menghalang ungkapan gen dalam tisu adipos dan tulang yang membuat struktur tulang menjadi rapuh.

Kajian yang dijalankan oleh beliau dan pasukannya ke atas tikus menunjukkan bahawa ciri-ciri anti-oksida melalui sebatian  flavonoids iaitu naringenin bertindak membantu sistem pertahanan antioksidan endogen untuk melindungi tulang daripada osteoporosis.

Pasukannya itu terdiri dari Prof Dr Ima Nirwana Soelaiman, Prof Dr Farihah Suhaimi, Prof Dr Srijit Das, Prof Dr Ahmad Nazrun Shuid dan Dr Siti Fadziyah Mohd Asri. Mereka telah memberi tumpuan kepada kesan penawar pati daun kadok terhadap penyembuhan tulang retak pada tikus yang ovari mereka dikeluarkan dan kesan perlindungan terhadap tikus yang menghidapi osteoporosis akibat glukokortikoid.

Daun Kadok digunakan sebagai bahan dalam makanan tradisional di Asia Tenggara dan secara tradisi digunakan untuk merawat pelbagai penyakit seperti keradangan, dermatitis dan sakit sendi.

Dr Elvy Suhana berkata bahawa osteoporosis adalah satu masalah kesihatan yang meluas. Osteoporosis adalah suatu penyakit kehilangan jisim dan kekuatan tulang yang membawa kepada peningkatan risiko patah, biasanya terhadap wanita yang putus haid.

Rawatan glukokortikoid adalah punca utama osteoporosis sekunder. Tindakan glukokortikoid dalam tulang bergantung kepada ungkapan jenis 1 enzim 11beta – hydroxysteroid dehydrogenase (11β – HSD1). Keadaan kekurangan estrogen menyebabkan osteoporosis kerana peningkatan osteoclastogenesis oleh tekanan oksidatif yang membawa kepada penyerapan kalsium dan mineral lain dari tulang ke darah.

Kajian terbaru mendapati bahawa pati daun kadok mempunyai keupayaan untuk menghalang ungkapan dan aktiviti 11β – HSD1 dalam tisu adipos dan tulang dan dapat memulihkan struktur tulang. Ia juga mempercepatkan penyembuhan patah apabila estrogen berkurangan melalui sifat antioksidannya.

Kos rawatan konvensional adalah tinggi dan terdapat kesan sampingan yang tidak menggalakkan sesetengah doktor dan pesakit daripada menggunakan ubatan yang terdapat di pasaran.

Dr Elvy Suhana berkata rawatan menggunakan herba mempunyai potensi dan perlu diterokai kerana ia bukan sahaja murah bahkan tidak mempunyai kesan sampingan yang boleh memudaratkan.

Dr Elvy Suhana adalah seorang pensyarah Anatomi di Fakulti Perubatan di samping memberi khidmat kepada Jabatan Farmakologi, di Pusat Perubatan UKM di Kuala Lumpur. Beliau juga adalah ahli kumpulan penyelidikan Metabolisme Tulang di bawah Nic Kesihatan dan Teknologi Perubatan UKM.