Di Sebalik Kehilangan MH370

RABU, 21 MEI 2014 08:36

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 16 Mei 2014 – Tragedi kehilangan kapal terbang MAS MH370 menimbulkan banyak persoalan tetapi ia juga telah menonjolkan pelbagai isu seperti keselamatan, media, hubungan antarabangsa dan psikologi rakyat Malaysia sebagai satu masyarakat dan dunia sebagai masyarakat global.

Perkara ini telah dibincangkan dalam forum anjuran Institut Kajian Malaysia & Antarabangsa (IKMAS) di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Prof Dr Ruhanas Harun dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berkata MH370 adalah lebih daripada hanya sebuah pesawat yang hilang kerana ia menguji keupayaan Kerajaan Malaysia menjana sokongan antarabangsa untuk misi mencari dan menyelamat. Sokongan antarabangsa sedemikian tidak mungkin diperolehi tanpa wujudnya kedudukan mantap urusan diplomasi Malaysia.

Beliau berkata banyak isu politik seperti kedaulatan dan perbedaan politik telah timbul, namun Kerajaan Malaysia berjaya mengatasi masalah itu untuk mendapatkan sokongan banyak negara asing.

Prof Ruhanas bagaimanapun mengakui bahawa ada ruang untuk penambahbaikan khususnya kerana peristiwa itu telah menunjukkan kelemahan keselamatan ruang udara negara.

Beliau berkata pihak tentera telah mengesan MH370 mengubah arah laluan penerbangannya tetapi tidak mengambil sebarang tindakan kerana pihak tentera terlalu berpegang kepada protokol yang ketat untuk mengambil tindakan selanjutnya.

Beliau membandingkan kejadian itu dengan bencana kemanusiaan dan bagaimana pelbagai negara bersatu untuk menghulurkan bantuan. Walau bagaimanapun terdapat banyak isu seperti keselamatan telah timbul di peringkat antarabangsa dan telah dapat ditangani oleh Malaysia dengan baik.

Prof Lee Poh Ping seorang pakar kajian China dari Universiti Malaya (UM) membuat analisis kesan peristiwa itu terhadap  hubungan Malaysia dan China.

Walaupun berlaku tuduhan Malaysia tidak telus dan tidak cekap dilemparkan oleh rakyat China, Malaysia masih penting untuk negara China.

China adalah rakan perdagangan Malaysia yang terbesar dan China juga tidak mahu Malaysia berpaling untuk menjadi terlalu pro Amerika.

Malaysia adalah penting untuk China kerana lokasinya strategik yang mana Selat Melaka adalah laluan penting bagi China untuk bekalan minyak yang amat diperlukannya demi perkembangan ekonominya.

Namun begitu beliau juga menyorot kepada laporan yang mengatakan bahawa jumlah pelancong China ke Malaysia telah merosot sebanyak 30 peratus sejak peristiwa itu.

Beliau juga menolak teori kononnya MH370 menjadi mangsa kerana ia membawa rahsia teknologi dron terkini Amerika untuk dihantar ke China.

Prof Zaharom Nain dari Nottingham University Malaysia menempelak kelemahan media tempatan hingga menjejaskan liputan mereka terhadap peristiwa itu.

Beliau berkata kawalan amat ketat pemerintah ke atas media arus perdana dengan kewujudan pelbagai undang-undang yang mengongkong kebebasan media. Ini membuatkan wartawan tempatan dari media arus perdana hanya dapat bertindak sebagai pencatat peristiwa dengan menyuapkan berita versi pemerintah semata-mata.

Beberapa media arus perdana juga tidak membantu keadaan. Wartawan mereka tidak berupaya bertanya soalan-soalan yang harus dikemukakan. Beliau juga mendakwa wartawan yang berani berbuat demikian penulisan mereka tidak akan digunakan atau disiarkan setelah diolah semula. Bagi beliau kewartawanan Malaysia sudah tidak lagi menjadi satu profesyen, sebaliknya satu pekerjaan sahaja.

Dengan sebab pihak berkuasa hanya biasa dengan wartawan yang telah dijinakkan dan menurut perintah ia membuatkan pihak berkuasa tidak dapat menangani soalan dari media asing dengan baik apabila berhadapan dengan mereka.

Kelemahan tersebut menyebabkan banyak kritikan yang dibuat terhadap keupayaan pihak kerajaan dalam menangani isu tersebut.

Pengarah Jabatan Psikologi di Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia Prof Dr Abd Halim Mohd Hussin juga mempunyai isu dengan media.

Beliau ditugaskan untuk menjaga kesihatan psikologi keluarga terdekat mangsa penumpang MH370 dan mendapati media telah memburukkan lagi keadaan psikologi mereka dengan berterusan kerana mahu mengajukan soalan.

Keluarga terdekat mangsa sedang berhadapan dengan keadaan yang dikenali sebagai ‘ambigious loss’ atau kehilangan tidak menentu. Dalam keadaan kehilangan biasa seseorang akan melalui proses bersedih dan menerima realiti. Akhirnya meraka redha dengan kehilangan tersebut.

Namun dalam kes MH370 kehilangan yang mereka alami disertai dengan harapan besar bahawa keluarga dan orang tersayang akan kembali.

Apabila media berusaha juga untuk mengajukan soalan seperti “bagaimana perasaan anda” membuatkan keluarga sentiasa mengenang kembali kehilangan mereka. Ini sama sekali tidak membantu usaha memulihkan perasaan mereka itu.

Beliau telah menerima panggilan daripada seorang wanita, keluarga seorang penumpang merayu agar beliau dapat menghalang pihak media pergi ke rumahnya sedangkan beliau baru sahaja cuba mententeramkan trauma yang dialami dan tidak mahu diganggu.

Forum itu berakhir dengan semua panelis bersetuju terdapat pelbagai kelemahan dari semua pihak yang harus ditangani.

Presiden Persatuan Sains Sosial Malaysia Prof Dr Hazim Shah dan Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli, pelajar dan orang ramai telah menghadiri forum itu.