Karnival Pendengaran UKM Berjaya Mengutip Derma RM250,000

JUMAAT, 16 MEI 2014 11:12

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 15 Mei 2014 – Klinik Audiologi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini berjaya mengumpul bantuan wang tunai dan peralatan pendengaran berjumlah RM250,000 di karnival pendengarannya Ahad lalu.

Bantuan itu berjaya di kumpul dari 26 buah syarikat termasuk Siemens Malaysia yang menghulurkan bantuan alat pendengaran berjumlah RM80,000 apabila ia menderma RM50 bagi setiap pusingan mengelilingi Taman Tasek Titiwangsa oleh peserta yang menyertai larian amal mengelilingi tasIk itu.

Karnival itu dianjurkan oleh Klinik Audiologi UKM untuk mengutip derma bagi membantu pesakit yang mempunyai masalah pendengaran untuk mendapatkan rawatan dan alat bantuan pendengaran.

Ketua Program Audiologi Dr Rafidah Mazlan berkata kos rawatan dan alat pendengaran boleh mencecah ribuan ringgit dan kutipan itu akan dapat membantu klinik menyediakan peralatan itu kepada pesakit yang tidak mampu.

Bantuan itu juga membolehkan pakar menumpu perhatian kepada rawatan sepenuhnya tanpa perlu berfikir bagaimana dapat menolong pesakit mendapatkan rawatan dan alat yang diperlukan.

Walaupun pendengaran bukanlah penyakit yang boleh membawa maut tetapi ia menjejaskan kualiti hidup seseorang. Masalah itu tidak kelihatan dan ramai orang tidak sedar terhadap kecacatan orang yang mempunyai masalah pendengaran.

Beliau berkata pendengaran tidak dapat dilihat tetapi impaknya dapat dirasakan kerana ia boleh menjejaskan pembelajaran, pekerjaan dan juga dalam komunikasi.

Orang yang mempunyai masalah pendengaran kadangkala tidak diberi peluang untuk memberi sumbangan walaupun mereka mempunyai kebolehan yang lebih baik daripada orang normal.

Masalah komunikasi juga menghalang tahap penglibatan mereka dalam komuniti dan di tempat kerja.

Bagaimanapun masalah itu dapat diatasi dengan bantuan alat pendengaran bagi kebanyakan pesakit dan masalah pendengaran pada kanak-kanak dapat dipulihkan dengan implan koklear.

Implan Koklear juga dikenali sebagai telinga bionik yang boleh membantu kanak-kanak dan sesetengah orang dewasa untuk mendengar kembali sama ada mereka dilahirkan tanpa pendengaran ataupun yang kehilangan pendengaran kemudian.

Timbalan Naib Canselor (Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Nor Aziah Mohd Awal, Ahli parlimen Titiwangsa  Datuk Johari Abdul Ghani serta ibu-bapa dan kanak-kanak telah hadir di karnival itu.