Multimaxx Ipoh Johan Badminton Piala Tun Dr Siti Hasmah

ISNIN, 12 MEI 2014 11:13

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Abdushattar Nawi

BANGI, 4 Mei 2014 – Kumpulan Multimaxx Ipoh telah memenangi kategori Beregu Lelaki Amatur di Kejohanan Badminton Piala Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali 2014 di sini hari ini.

Mereka mengalahkan beregu kumpulan Navy A yang juga di wakili Muhammad Hafiz Hashim, johan perorangan All England tahun 2003.

Kejohanan empat hari itu telah diadakan di Dewan Gemilang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), di sini.

Hampir 40 kumpulan menyertai kejohanan itu yang dilangsungkan sebagai pentas untuk memberi ruang kepada atlet muda yang belum memasuki dunia profesional meraih pengalaman serta menonjolkan diri dalam permainan badminton. Ia juga adalah salah satu daripada kejohanan berprestij di peringkat universiti.

Multimaxx membawa pulang Trofi Kejohanan, pingat, hamper dan wang tunai RM2000, manakala Navy A menerima pingat, hadiah, hamper dan wang tunai RM1000.

Kumpulan AD Badminton Academy 1 and AD Badminton Academy 2 memenangi tempat ketiga bersama dan menerima pingat, hamper dan wang tunai RM500.

Semua hadiah telah di sampaikan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali yang telah diiringi oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Prof Datin Noor Aziah Hj Mohd Awal.