Pelajar Farmasi UKM Juara Cabaran Farmasi Klinikal Kebangsaan

JUMAAT, 23 MEI 2014 15:09

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 18 Mei 2014 – Pelajar Farmasi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menjuarai pertandinganCabaran Farmasi Klinikal Kebangsaan(NCPC) yang berakhir di sini hari ini.

Tempat kedua dimenangi pasukan dari Universiti Perubatan Antarabangsa Malaysia (IMU) manakala Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) menduduki tempat ketiga.

Peserta individu terbaik dimenangi oleh Tiffany Soon Huey Ling dari Kumpulan A IMU.

Inilah julung kalinya cabaran itu diadakan dengan tema ‘meningkatkan kemahiran klinikal, memajukan penjagaan pesakit’. Cabaran yang berlangsung selama tiga hari itu dianjurkan oleh Fakulti Farmasi UKM dan Persatuan Mahasiswa Fakulti Farmasi (PMFFAR) dengan kerjasama Persatuan Mahasiswa UKM (PMUKM).

Pemenang membawa pulang trofi, beg hadiah dan sijil pencapaian manakala peserta lain menerima sijil dan beg hadiah. Hadiah dan anugerah pertandingan tiga hari itu disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datin Noor Aziah Mohd Awal pada majlis penutupnya di kampus UKM di sini hari ini.

NCPC ditaja oleh BP Healthcare Group, CCM Pharmaceuticals Sdn Bhd, Dayawan Trading, Persatuan Pelajar Farmasi Malaysia (MUPSA), PitaBerry Sdn. Bhd dan Y.S.P. Industries (M) Sdn Bhd.

Hakim pertandingan terdiri dari wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, UKM, Monash University, UIAM, CUCMS dan IMU.

UKM dan IMU masing-masing menghantar dua pasukan untuk mengambil bahagian dalam acara tersebut tetapi hanya Kumpulan A dari kedua-dua universiti yang berjaya menjadi pemenang.

Dekan Fakulti Farmasi UKM, Profesor Dr Ibrahim Jantan berkata pelajar farmasi dari seluruh negara telah mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat kebangsaan itu. Ia bertujuan membantu menghasilkan graduan yang cekap, beretika serta dapat mengintegrasikan pengetahuan dan kemahiran mereka dengan tanggungjawab sosial.

Beliau berkata ia diadakan untuk membantu pelajar menimba pengalaman serta mengukuhkan kemahiran komunikasi mereka.

Naib Presiden Persatuan Farmasi Malaysia, Abida Syed M. Haq dan Timbalan Dekan Fakulti Farmasi, Profesor Madya Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin.