PERSADA Canselori Diperkenalkan Untuk Mengukuhkan Peranan UKM

JUMAAT, 23 MEI 2014 10:50

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim & Shahiddan Saidi

BANGI, 20 Mei 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini memperkenalkan PERSADA Canselori, sebuah platform untuk mengukuhkan peranannya sebagai pendaulat amanah negara.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali membuat pengumuman itu ketika berucap sempena sambutan ulang tahun UKM yang ke-44, di sini hari ini.

Beliau berkata PERSADA Canselori akan dijadikan suatu landasan bagi isu penting negara dapat dibincangkan demi kepentingan masyarakat dengan hasrat apabila PERSADA Canselori bersuara negara akan memberi perhatian.

PERSADA Canselori terletak di bahagian Foyer bangunan Canselori UKM. Ia bukan sahaja akan digunakan sekadar aktiviti penjenamaan baru tetapi juga berupa suatu tindakan simbolik bahawa UKM amat serius dalam menjalankan peranannya sebagai pendaulat amanah negara yang sentiasa bersedia untuk memahami permasalahan masyarakat.

Beliau berkata banyak telah berubah dalam tempoh 44 tahun semenjak ia ditubuhkan. Kini UKM perlu menyesuaikan dirinya untuk terus ke hadapan dan menangani cabaran serta pergolakan yang sedang berlaku di seluruh dunia.

Prof Noor Azlan juga menggariskan enam bidang tumpuan utamanya bagi melonjakkan UKM maju ke hadapan.

Pertama, melahirkan graduan yang menjadi pilihan majikan dan industri. Ini boleh dilakukan dengan memberi penekanan kepada jati diri dan perwatakan pelajarnya ke suatu tahap yang mereka akan dikenali dan dihormati.

Kedua mewujudkan hubungan dan kerjasama erat dengan semua pihak berkepentingan dengan UKM supaya impaknya berkesan dan dapat dilihat serta dirasai.

Ketiga adalah berusaha menghasilkan penyelidikan berimpak tinggi. Jumlah penyelidikan sahaja tidak memadai dan bukan menjadi pengukur utama. Bahkan penemuan yang diperolehi harus benar-benar bermakna supaya dapat memberi faedah kepada masyarakat dan negara. Inilah apa yang dikehendaki daripada penyelidikan bukanlah jumlahnya sahaja.

Keempat memupuk budaya inovasi dalam kalangan semua penggerak utamanya. Setiap warga UKM tanpa mengira pangkat atau jabatan perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk memajukan UKM.

Inovasi tidak harus tertumpu kepada penyelidik semata-mata tetapi perlu diamalkan oleh semua pihak dan agensi di universiti ini.

Kelima ialah mengusahakan penjanaan pendapatan sendiri supaya boleh menghadapi peruntukan yang semakin berkurangan seperti yang dialami semua institusi pengajian tinggi awam.

UKM kini mempunyai sejumlah lebih daripada 300 orang profesor, iaitu kira-kira 15 peratus daripada jumlah warga kerjanya. Prof Noor Azlan percaya sekiranya semua profesor berusaha menggerakkan kepakaran mereka dengan kerja-kerja perundingan melalui platform yang sedia ada, UKM boleh menjana lebih daripada RM120 juta yang diperlukan untuk operasinya setiap tahun.

BIdang tumpuan terakhir ialah menaikkan taraf prasarananya bagi memastikan ia setaraf dengan keperluan semasa. Sebagai contoh pelajar seharusnya tidak lagi perlu turun dari kolej kediaman mereka untuk mendapatkan capaian Internet.

Beliau berkata keenam-enam usaha itu akan memastikan UKM kekal relevan dan pada masa yang sama dapat memenuhi peranannya sebagai pendaulat amanah negara.

Perubahan perlu dilakukan untuk mencapai matlamat UKM sebagai pendukung kemajuan negara, relevan, dirujuk dan dihormati.

Upacara pelancaran sambutan itu dirasmikan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UKM Prof Emeritus Dato’ Dr Mohammad Zawawi Ismail. Antara yang hadir ialah warga UKM, alumni, guru dan murid Sekolah Kebangsaan Tumpat, Kelantan.