Roselle Sebagai Rawatan Untuk Kencing Manis

JUMAAT, 16 MEI 2014 17:35

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

Kuala Lumpur, 16 Mei 2014 – Apa yang bermula sebagai satu program untuk mengkomersialkan tumbuhan roselle hampir 15 tahun yang lalu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), kini berbaloi kerana ia menunjukkan hasil yang menggalakkan dalam penyelidikan bioperubatan terhadap penyakit kencing manis (diabetes).

Para penyelidik UKM Profesor Datuk Dr Jamaluddin Mohamed, Prof Madya Siti Balkis Budin dan lain-lain telah mendapati bahawa pati roselle (hibiscus sabdariff ), mulberi putih dan kapur barus boleh digunakan sebagai agen untuk mengurangkan kesan komplikasi utama terhadap pesakit kencing manis.

Prof Jamaluddin dan Dr Siti Balkis memberitahu Portal Berita UKM di Fakulti Sains Kesihatan baru-baru ini bahawa mereka menjalankan kajian itu untuk mengetahui kesan anti-pengoksidaan pati morus alba (mulberi putih),hibiscus sabdariffa (roselle) dan comiphora molmol (kapur barus) pada hati tikus yang dijangkiti kencing manis.

Kencing manis adalah satu penyakit metabolik yang semakin merebak di seluruh dunia dan menjadi lebih sukar untuk dirawat kerana pelbagai komplikasi fizikal dan metabolik. Tekanan oksidatif memainkan peranan penting dalam patogenesis daripada komplikasi diabetes.

Prof Jamaluddin berkata diabetes boleh menyerang semua organ utama, termasuk hati dan organ-organ pembiakkan, terutamanya buah zakar yang menghasilkan air mani.

Dr Siti Balkis berkata mereka percaya roselle, mulberi putih dan kapur barus mempunyai potensi untuk merawat diabetes berdasarkan apa yang mereka temui.

Mereka menggunakan tikus yang dibahagikan kepada enam kumpulan. Tiga kumpulan yang diberikan roselle, mulberi putih dan kapur barus menunjukkan tanda-tanda penyembuhan selepas diberi ekstrak itu. Tiga kumpulan lain terdiri daripada tikus tanpa kencing manis yang telah diberikan larutan garam sebagai kawalan, tikus diabetik yang diberi larutan garam sebagai kawalan negatif dan tikus diabetik yang diberi etformin  (ubat anti-diabetes yang dimakan) yang digunakan untuk merawat diabetes jenis -2.

Paras glukosa atau gula daripada tiga kumpulan yang tidak diberi pati tumbuhan tidak menurun dengan ketara selepas 28 hari rawatan, apabila dibandingkan dengan kumpulan yang diberi pati. Walau bagaimanapun, protein dan beberapa enzim anti-oksida telah didapati lebih tinggi sedikit dalam kumpulan tanpa ekstrak tumbuhan.

Prof Jamaluddin berkata pada tahun 1999 – apabila program roselle dimulakan di UKM – tiada siapa sangka roselle berpotensi untuk dikomersialkan.

“Roselle boleh mencapai kejayaan CiliBangi pada masa akan datang,” katanya.

Beliau merujuk kepada tiga jenis cili, atau lada yang pertama kali dibiakkan oleh seorang penyelidik UKM pada tahun 1978. Menjelang tahun 2011, cilibangi menjadi tanda aras untuk mengukur kualiti dan cita rasa kepedasan di Malaysia dan telah berjaya secara komersial.

Prof Jamaluddin berharap roselle juga mencapai kejayaan yang sama, walaupun usaha untuk mengkomersialkannya sebagai minuman kordial kesihatan pada tahun 1990an telah gagal.

Usaha untuk mengkomersilkan roselle yang dipelopori oleh Universiti Malaya dan Jabatan Pertanian pada tahun 1990an di Terengganu tidak menerima sambutan menggalakkan kerana tiada sokongan pemasaran jangka panjang. Para pengguna pula tidak diberi maklumat yang jelas mengenai produk baru itu.

Apabila menyertai UKM, Prof Dr Mohamad Osman dari Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) ingin meneruskan usaha penyelidikan ke atas beras dan buah-buahan. Walau bagaimanapun penyelidikan terhadap buah-buahan mengambil masa terlalu panjang dan dengan itu kurang diminati oleh pelajar terutama pelajar pasca-siswazah yang ingin menyelesaikan kajian mereka dalam tempoh ringkas. Maka beliau terpaksa mencari alternatif dan memilih roselle.

Tidak ada pembiayaan penyelidikan yang sedia ada, namun demikian Prof Mohamad berikhtiar untuk meneruskan kajian dan sanggup berbuat apa sahaja untuk mencari tumbuhan yang akan dijual dengan laris pada masa depan. Beliau menemui kertas penyelidikan dari Eropah mengenai tumbuh-tumbuhan tropika yang mempunyai ciri-ciri anti-oksida, dan menduga roselle mempunyai masa depan yang cerah.

Sangkaannya itu berbaloi dan kini terdapat tiga jenis roselle ditanam  di kampus Bangi berhampiran Institut Biologi Sistem (INBIOSIS).