UKM Dipuji Melatih Kakitangan Awam Sri Lanka

SELASA, 27 MEI 2014 16:16

Oleh Athirah Abdul Aziz (Pelatih UiTM)
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 27 Mei 2014 – Pesuruhjaya Tinggi Sri Lanka ke Malaysia Ibrahim Ansar memuji UKM kerana bersedia melatih kakitangan kerajaannya dalam program dua minggu Lawatan Sambil Belajar ke Malaysia.Berucap pada majlis perasmian program itu minggu lalu, Ibrahim Ansar berkata kerjasama itu menunjukkan hubungan rapat antara kedua-dua negara, terutamanya dengan UKM.

Sri Lanka kini sedang menimbangkan kerjasama antara kerajaan dengan agensi kedua-dua negara. Penyertaan pegawai awam dari Institut Pentadbiran Pembangunan Sri Lanka (SLIDA) untuk rancangan itu telah membantu mengukuhkan keazaman UKM melipatgandakan usahanya untuk mengadakan kerjasama antarabangsa.

Pusat Pengajian Perniagaan Siswazah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berhasrat meluaskan kerjasama dengan institusi dari luar negara untuk meningkatkan kerjasama antarabangsanya.

Kerjasama tersebut dimulakan dengan  mengadakan kursus dua minggu kepada 36 orang pegawai awam dari SLIDA yang diadakan di sini minggu lalu untuk meningkatkan keupayaan perkhidmatan awam Sri Lanka.

Kursus itu juga bertujuan meningkatkan prestasi kepimpinan dan kemahiran pengurusan awam peserta.

Dekan UKM-GSB, Profesor Dr Izani Ibrahim berkata UKM mensasarkan pelaksanaan pendidikan bertaraf dunia dan penyelidikan dengan perspektif yang kukuh di Asia Tenggara.

Program itu diadakan sebagai lanjutan daripada lawatan Setiausaha kepada Presiden Sri Lanka, Lalith Weeratunga pada September 2013 yang telah menyampaikan ceramah awam mengenai usaha memperkasa semula perkhidmatan awam di negara tersebut.

Prof Izani berharap kerjasama sedemikian berpotensi mewujudkan peluang untuk pembangunan pengetahuan dan berkongsi pengalaman.

Kehadiran pegawai-pegawai Sri Lanka di UKM telah membuktikan bahawa kedua-dua negara memberi perhatian berat terhadap pembangunan modal insan untuk mewujudkan persekitaran yang mesra perniagaan dan meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi, kata Prof Izani.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbahan Ketua Pengarah (Pengajian Lepasan Ijazah ) SLIDA, Thilakasiri Moderage .