Anggota Tentera Penerima Ijazah Sarjana Mahu Terus Berkhidmat Dalam Tentera

SELASA, 11 NOVEMBER 2014 15:33

Oleh Haslina Ramlee (Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 7 November 2014 – Salah seorang anggota tentera yang memperolehi ijazah sarjana dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) minggu lalu berhasrat untuk terus berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sehingga persaraannya.

Leftenan Kolonel Falulin bin Senan dari Rejimen Askar Jurutera Diraja berkata kursus yang diikutinya memerlukan semangat jitu untuk berjaya selain memerlukan banyak pengorbanan.

Kol Falulin yang menerima Anugerah Dekan bagi kursus Ijazah Sarjana Sains Sosial Pengajian Pertahanan pada Konvokesyen ke-42 UKM minggu lalu telah berkhidmat selama 31 tahun dalam tentera.

Beliau adalah di antara 40 orang siswa Maktab Pertahanan Angkatan Tentera (Armed Forces Defence College) yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UKM itu.

Berpegang kepada prinsip “hendak seribu daya tak hendak seribu dalih”, beliau berhasrat mahu terus berjasa dan berbakti kepada negara.

Antara pegawai tentera yang menerima ijazah lanjutan mereka bersama Kol Falulin adalah 32 orang Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia ATM yang terdiri dari 7 pegawai masing-masing dari Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM) dan Tentera Udara Di Raja Malaysia (TUDM) serta 18 orang pegawai dari Tentera Darat. Selebihnya adalah dari Polis Di Raja Malaysia dan seorang Pegawai Tadbir dan Diplomatik serta pelajar dari Nigeria, Singapura, Thailand, Indonesia, Filipina dan Brunei.

Isteri beliau Noraini Abd Ghaffar, mampu untuk berdikari sepanjang suaminya bertungkus lumus mengejar cita-cita untuk mencapai kejayaan dan memperoleh keputusan yang cemerlang.

Anak tunggal mereka, Aini Fazleena, 21 tahun, pelajar tahun pertama di Management & Science University (MSU) dalam bidang Perniagaan Antarabangsa (International Business) berkata kejayaan dan semangat yang ditunjukkan ayahnya telah memberi keazaman dan mendorongnya untuk terus belajar ke peringkat pengajian tinggi.

Kol Falulin melahirkan setinggi penghargaan kepada UKM, Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan serta staf akademik yang terlibat dengan kursus yang mereka ambil.

Kursus itu mengandungi 3 Semester di mana mereka mempelajari Modul Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa pada semester pertama, Modul Pengajian Ketenteraan pada semester kedua dan semester ketiga di mana menyiapkan tesis sarjana mereka.