IS Didalangi Barat Untuk Menjatuhkan Islam

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 10:09

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 14 November 2014 – Kemunculan kumpulan yang digelar Daulah Islamiyah (IS) dipercayai didalangi kuasa barat untuk menimbulkan keadaan tidak stabil di Asia Barat.

Pengerusi Yayasan Nassa, Nasharudin Mat Isa berkata agenda ini bertujuan untuk menyekat kemaraan Islam di dunia serta menjadikan Islam sebagai agama negatif yang dilanda keganasan.

Berucap pada forum Bicara Persada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertajuk “Jihad dan Daulah Islamiyah (IS): Merungkai Persoalan” di sini hari ini, beliau berkata kebangkitan Islam di beberapa negara telah mendorong kuasa  besar dunia merancang sesuatu untuk menghentikan kebangkitan itu.

Menceritakan pengalamannya, Nasharudin berkata semasa berada di lapangan terbang di Turki, beliau melihat apabila masuk sahaja waktu zohor, orang ramai akan menghentikan pekerjaan mereka untuk menunaikan solat. Perlakuan ini menunjukkan kesedaran agama yang semakin tinggi.

Kebangkitan demikian telah mendorong kuasa Barat untuk menggugat keamanan di negara Islam dengan menggunakan tindakan melampau pejuang itu yang menggunakan nama Islam sebagai saluran berjihad tetapi telah melanggar syariah Islam untuk mencemarkan nama suci agama,” katanya.

Nasharudin menerangkan latar belakang kumpulan IS yang tertubuh daripada pecahan kumpulan Al Qaeda. IS ditubuhkan secara rasmi pada tahun 2013 dan semakin ingin meluaskan pengaruh dan kuasanya.

Seorang Pensyarah di Jabatan Usuluddin, Fakulti Pengajian Islam (FPI) UKM, Dr Muhammad Razak Idris yang mengulas isu IS dari segi falsafah pemikiran Islam berkata IS terangkum dalam persoalan berkaitan hubungan agama dan masyarakat.

Ia terbentuk dari corak pemikiran radikal dan ekstrem. Fahaman ini membawanya bermusuhan dengan Iraq atas alasan Iraq adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi barat dan wajib diperangi.

Dr Muhammad Razak berkata mereka dianggap terlalu radikal di mana pimpinan Al-Qaeda yang dianggap Barat sebagai radikal turut menolak kumpulan IS.

IS dianggap sebagai suatu trend radikal yang tidak boleh diterima dalam konteks pergerakan Islam semasa. Antaranya adalah pandangan mereka terhadap jihad, yang menyeru kepada tindakan memerangi seluruh kuasa barat dan pendokong mereka. Kumpulan itu beranggapan bahawa jihad adalah suatu jalan untuk menyelesaikan masalah utama yang dihadapi negara-negara Islam pada hari ini.

“Umat Islam yang tidak mengamalkan sistem Syariah Islam dilihat sebagai kumpulan yang sudah menyeleweng dan tidak boleh dijadikan pemimpin,” kata beliau.

Seorang lagi ahli panel Prof Dato’ Wira Dr Ismail Ibrahim, Naib Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata gerakan radikal atau ekstremis yang dibawa oleh IS adalah gerakan yang tidak halal.

Kemunculan IS untuk menubuhkan sebuah kerajaan Islam yang berbentuk khalifah adalah berdasarkan prinsip bahawa dunia islam tidak mempunyai sempadan. Keadaan ini bererti negara Islam harus dipimpin oleh seorang khalifah tanpa sempadan.

IS mensasarkan golongan muda di seluruh dunia untuk berjuang dengan berkonsepkan jihad dan mati syahid, tambah beliau.