Kejayaan Tercapai Bukan Dengan Kerja Keras Sahaja

AHAD, 02 NOVEMBER 2014 00:00

Oleh Shahfizal Musa
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2014 – Penerima Anugerah Pelajaran Diraja yang kedua di konvokesyen ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, Surendra Ananth Anadaraju menyandarkan kejayaannya kepada matlamat yang jelas dan bekerja secara bijak.

Pelajar dari Fakulti Undang-Undang ini berkata bekerja secara bijak yang dimaksudkan adalah mengambil tahu apa sebenarnya dikehendaki oleh pensyarah.

“Tidak guna kita menghantar jawapan yang berjela-jela panjang sekiranya apa yang dikehendaki oleh pensyarah adalah jawapan yang ringkas dan padat,” kata Surendra.

Bekerja dengan bijak tidak memerlukan belajar sepanjang masa. Ini membolehkan pelajar mempunyai masa yang lapang untuk membuat perkara lain.

Surendra telah menggunakan masa lapangnya secara bijak. Beliau melibatkan diri dalam mahkamah Moot sehingga menjadi presiden kelab Mahkamah UKM. Beliau juga mewakili Persatuan Pelajar Undang-Undang Asia (ALSA) ke Persidangan Pelajar Undang-undang Eropah sebagai presiden.

Anak sulung dari tiga orang adik beradik ini bukanlah seorang yang sentiasa tahu apa matlamatnya. Pada mulanya beliau menghadapi masalah untuk mengikuti kursus undang-undang. Setelah mengatasi masalah tersebut beliau dapat melihat matlamatnya dengan jelas.

Beliau ingin menjadi seorang peguam hak asasi manusia dan berbakti di Malaysia dan juga di peringkat antarabangsa .

Surendra ingin bekerja di luar negara, tetapi akan kembali ke Malaysia untuk berkhidmat kepada negara selain berhasrat untuk bekerja di Bangsa-Bangsa Bersatu menangani isu hak asasi manusia.

Ibu bapanya telah memberi kebebasan kepadanya untuk memilih kerjayanya sendiri tanpa desakan dan ini juga telah mendorongnya mencapai kejayaan.

Beliau juga berpendapat seseorang pelajar perlu tahu apa yang hendak dilakukan selepas belajar dan ini akan menjadikan matlamatnya lebih jelas.

Surendra mengakui terdapat mereka yang belajar undang-undang dengan niat yang murni tetapi bertukar hasrat.

Pada tahun pertama mereka masuk dengan sifat idealis dan belajar undang-undang untuk menegakkan kebenaran. Bagaimana pun hasrat itu kemudian dikaburi dengan kepentingan diri hingga memilih subjek yang difikirkan akan menguntungkan.

Tetapi bagi Surendra niatnya tetap sama semasa mula belajar undang-undang. Malah beliau tidak risau untuk mencari rezeki dan mahu menceburi kepada kerja-kerja amal dan kesukarelawan untuk membantu orang lain.

Baginya kompromi perlu dilakukan untuk merealisasikan niat murni membantu orang lain dan harus mempunyai kestabilan kewangan sebelum boleh melakukan kerja amal dengan sempurna.

Kadang kala kita perlu membuat perkara yang kita kurang minat untuk membiayai perkara yang kita suka lakukan, tambahnya.