Kerdil Bukan Kayu Ukur Mencapai Kejayaan

RABU, 05 NOVEMBER 2014 08:55

By Shahfizal Musa
Pix Ikhwan Hashim

BANGI, 4 November 2014 – “Ijazah Sarjana ini bukanlah hanya untuk saya sahaja tetapi adalah juga suatu kejayaan bagi semua orang kerdil,” kata Siti Haslina Mohd Shafie, yang menerima ijazahnya di hari terakhir Konvokesyen ke 42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini.

Siti Haslina adalah seorang yang mempunyai badan kecil atau lebih dikenali sebagai ‘kerdil’. Namun kejayaannya telah menunjukkan bahawa beliau bukanlah seorang yang kerdil kebolehan. Siti Haslina hari ini menerima ijazah Sarjana Falsafah dalam geografi.

Beliau sebak apabila mengingat kembali sejarah hidupnya khususnya semasa persekolahan.

“Saya tidak bebas dari ejekan malah kutukan dari segelintir orang yang menganggap saya tidak boleh mencapai sesuatu tetapi hari ini saya telah buktikan yang orang seperti saya juga mampu berjaya,” kata Siti Haslina.

Beliau berharap kejayaannya itu akan mendorong orang-orang kerdil sepertinya. Ditanya apa rancangannya pada masa depan, Siti Haslina berkata beliau sedang melanjutkan pelajarannya untuk mendapat ijazah kedoktoran.

Seorang lagi orang yang mempunyai keadaan yang sama adalah Khadijah Abu Samah. Beliau adalah seorang guru di sekolah khas yang menerima Sarjana dalam bidang pengajian bahasa Melayu.

Beliau sudah berumahtangga dan suaminya Abd Halim Hapiz yang juga seorang kerdil yang mempunyai ketinggian tidak sampai 4 kaki. Kedua-dua anak mereka juga sudah dikenal pasti oleh doktor sebagai kerdil seperti ibu bapa mereka.

Khadijah berkata ijazah itu adalah amat penting baginya untuk membuktikan kepada anak-anak bahawa ukuran badan bukanlah penghalang untuk mencapai sesuatu.

Beliau berkata suaminya adalah tulang belakangnya hingga membolehkannya menerima ijazah hari ini.

Suaminya membantu menjaga anak-anak dan mendahulukan keperluannya hinggakan kerjaya beliau telah terkesan.

Keadaannya bukan sahaja bersaiz  kecil tetapi kakinya terlalu pendek hingga tidak boleh dibengkokkan. Ini menyebabkan beliau sukar untuk memandu, jadi suaminya telah memastikan yang pergerakannya untuk pembelajaran tidak terjejas sehinggalah beliau mendapat Ijazah.

Beliau berkata ijazah yang diterimanya adalah hasil pengorbanan suaminya. Rancangannya kini adalah untuk membantu suaminya.

Halim berkata kejayaan isterinya adalah juga kejayaan yang boleh meninggkatkan martabat semua orang kerdil seperti mereka.