Kerjasama Antara UKM Dan UMNW Sumatera Diwujudkan

ISNIN, 10 NOVEMBER 2014 10:55

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 7 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universitas Muslim Nusantara Al-Washliyah (UMNW) di Sumatera Utara berhasrat mengadakan kerjasama termasuk pertukaran tenaga pengajar dan pelajar serta berkerjasama menganjurkan bengkel pengajaran dan pendidikan.

Kedua-dua universiti telah menandatangani Surat Hasrat (LoI) bagi tujuan demikian di sini hari ini.

Timbalan Dekan (Akademik) Fakulti Pendidikan Profesor Madya Dr Hamidah Yamat menandatangani LoI itu bagi pihak UKM dengan Pembantu Rektor III UMNW Drs H. Milhan dalam upacara ringkas itu.

LoI tersebut membolehkan kedua-dua universiti mengendalikan program mobiliti untuk pelajar dan pengajar mereka, mengadakan lawatan dan perkongsian pintar serta berkerjasama dalam menganjurkan bengkel atau seminar.

Prof Madya Dr Maimun Aqsha Lubis dari Fakulti Pendidikan yang mula mencadangkan jalinan kerjasama akademik dan pertukaran pelajar demikian turut hadir di upacara itu.

Dr Maimun menerangkan bahawa beliau secara kebetulan telah berjumpa dengan beberapa akademik dari UMNW tidak lama dahulu ketika mengambil bahagian dalam suatu seminar di Medan, Indonesia.

Hasil perbualan mereka, UKM dan UMNW telah mengkaji kemungkinan mengadakan kerjasama antara mereka secara formal.

Dr Hamidah dalam kata-kata aluannya berharap LoI itu akan menjadi titik permulaan bagi kerjasama rapat antara mereka pada masa hadapan dan menjangkakan beberapa lagi LoI dapat dimetrai.

Dr Hamidah berkata jika LoI itu berhasil kerjasama lebih formal dapat diadakan dengan mengadakan suatu perjanjian memorandum persefahaman kelak.

Turut hadir pada upcara itu Leni Apridawaty dari UMNW dan Ong Chan Ee, eksekutif Pusat Hubungan Antarabangsa UKM.