Kerjasama UKM Dan Perbadanan Putrajaya Untuk Cegah Penyakit Dan Obesiti

SELASA, 11 NOVEMBER 2014 09:15

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Ikhwan Hashim

PUTRAJAYA, 6 November 2014 – Penarafan kesihatan sedunia yang terbaru untuk tahun 2011 meletakkan Malaysia di tangga ke-8 dengan mempunyai seramai 2.1 juta orang mengidap penyakit kencing manis.

China yang dilanda dengan 92.3 juta kes penyakit tersebut adalah negara yang berada pada kedudukan tertinggi dalampenarafan itu.

Demikian kata Pensyarah dan Pakar Perunding Endokrinologi, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Prof Dr Norlaila Mustafa di Majlis Penutup Program Slim Shape Putrajaya 2014 dan Forum Kesihatan LA21 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) hari ini.

Program itu diadakan oleh Perbadanan Putrajaya (PPJ) dengan kerjasama Fakulti Sains Kesihatan (FSK) UKM.

Prof Norlaila berkata penekanan kesihatan harus diberikan kepada punca dan penyebab penyakit kencing manis dan serangan jantung serta kaedah rawatannya.

Secara purata di dunia seorang meninggal dunia setiap enam saat kerana penyakit kencing manis, kata Dr Norlaila.

Penyakit jantung pula, beliau berkata ia adalah penyerang utama yang menyebabkan kematian di Malaysia. Mereka yang berisiko tinggi diserang penyakit itu adalah wanita monopus yang berisiko dua kali ganda untuk diserang berbanding lelaki.

Sebanyak 50 peratus pesakit akan meninggal setelah setahun sekiranya tidak dikawal. Penyakit itu sering menyerang sekitar pukul empat hingga sepuluh pagi.

Dr Norlaila berkata walaupun berbahaya, penyakit itu boleh dirawat dan dicegah.

Pakar pemakanan sihat, Puan Lydianis Bahari pula menerangkan pentingnya amalan pemakanan sihat bagi keluarga untuk menentukan pengambilan makanan yang sihat dan berkhasiat.

Penyediaan jadual pemakanan yang betul serta cara penyediaan sajian makanan perlu dilakukan sebagai suatu amalan keluarga untuk mencegah risiko obesiti, katanya.

Program Slim Shape Putrajaya 2014 itu telah ditutup secara rasminya oleh Naib Presiden Kanan (Jabatan Perkhidmatan Korporat), Perbadanan Putrajaya Datuk Muhamad Haitamin bin Ishak.

Turut hadir ialah Timbalan Naib Canselor, (Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat) Prof Dr Imran Ho Abdullah, wakil Persatuan Penduduk, ahli Jawatankuasa LA21 Putrajaya, peserta-peserta program Slim Shape, agensi kerajaan di Putrajaya, wakil UKM dan beberapa agensi lain.

Program Slim Shape Putrajaya telah berlangsung selama enam bulan dari April hingga Oktober lalu. Fokus utamanya adalah memberi penekanan kepada gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti Putrajaya dan sekitarnya.

Selain forum kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran kesihatan oleh penganjur program turut diadakan pada majlis penutup itu.