Khidmat Sebagai Anggota Lembaga Pengarah UKM Satu Pengorbanan

KHAMIS, 20 NOVEMBER 2014 15:59

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

PETALING JAYA, 18 November 2014 – Dua mantan ahli lembaga pengarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menyifatkan khidmat mereka di UKM sebagai satu pengorbanan untuk generasi muda dan bukannya tempat untuk memperkayakan diri.

Sambil berterima kasih kepada UKM kerana memberi kepercayaan kepada mereka sepanjang perkhidmatan, Dato’ Dr Azmi Abdullah dan Dato’ Dr Amran Kasimin berkata pengurusan UKM perlu sentiasa sedar bahawa kebajikan pelajar adalah tanggungjawab utama pemimpin-pemimpin universiti.

Mereka berucap pada Majlis Penghargaan Ahli Lembaga Pengarah UKM sempena tamat perkhidmatan mereka dan Dato’ Dr Megat Abdul Rahman Megat Ahmad di sini hari ini. Dr Azmi dan Dr Amran berkata mereka memandang berat amanah yang diberikan untuk memartabatkan UKM.

Turut hadir di majlis itu Pengerusi LPU Profesor Emeritus Dato’ Dr Mohamad Zawawi Ismail, Naib Canselor Prof Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali serta para Timbalan Naib Canselor.

Dr Megat Abdul Rahman, bendahari pertama UKM, tidak dapat hadir di majlis penghargaan itu kerana bertugas di Kelantan.

Dr Azmi berkata seperti Dr Megat Abdul Rahman, beliau amat sensitif dengan laporan akhbar yang boleh menjejaskan nama baik UKM khususnya dan pengajian tinggi negara amnya.

Dr Azmi, yang berlatarbelakangkan ekonomi, khuatir dengan ucapan seorang menteri menegur prestasi lulusan yang baru keluar universiti.

“Salah seorang dari pemimpin kita telah menyinggung perasaan saya apabila menyatakan masalah bukan lagi graduan yang menganggur tetapi mereka yang tidak boleh mendapat pekerjaan,” katanya.

Ia memberi gambaran seolah-olah universiti kini tidak lagi menyediakan bekalan yang diperlukan kepada graduan mereka. Beliau berkata segala apa yang dilakukan universiti adalah untuk pelajar dengan memberikan ilmu yang membolehkan mereka menghadapi cabaran kehidupan setelah lulus.

Bagaimanapun beliau mengingatkan UKM perlu mengubahsuai selaras dengan peredaran zaman dan suasana perubahan ekonomi dunia yang semakin meruncingkan.

Dr Azmi berkhidmat sebagai ahli lembaga pengarah dari tahun 1998 hingga 2014. Sebelum itu beliau adalah ahli majlis dari 1990 hingga 1998.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pengajar di Jabatan Pentadbiran, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan UKM pada tahun 1975, tetapi beralih ke sektor swasta apabila mendapat tawaran dari sebuah bank komersil.

Dr Amran, yang berpengetahuan Islam secara luas dan mendalam, menganggap sifat berkecuali sebagai penting untuk bertugas sebagai seorang anggota lembaga pengarah.

“Kita mesti ikhlas dan tidak pilih kasih. Jangan sekat idea dari orang semata-mata kerana tak sukakannya,” tambah beliau.

Dr Amran adalah seorang graduan ulung UKM dari Fakulti Pengajian Islam pada tahun 1974 dan telah menyambung pelajarannya ke peringkat sarjana dan PhD di United Kingdom.

Beliau berkata keikhlasan amat penting walaupun ia tidak menjamin kenaikan pangkat. Lambat laun keikhlasan akan dihargai berbanding mereka yang hanya mahu mengambil hati ketua.

Dr Amran pernah menjadi guru sekolah agama di Johor sebelum menyertai Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu UKM pada tahun 1974. Beliau dilantik sebagai pensyarah di Jabatan Persuratan Melayu UKM pada tahun 2000. Beliau memegang jawatan ahli lembaga pengarah dari tahun 2005 hingga 2014.

Dr Megat Abdul Rahman, yang mempunyai ijazah Perakaunan profesional dari Australia dan seorang Akauntan Awam Bertauliah, telah memulakan kerjayanya sebagai juruaudit dalam firma Coopers and Lybrand di Sydney, Australia selama tiga tahun.

Beliau kembali ke tanah air dan dilantik sebagai ketua – dan kemudian Dekan – Pusat Pengajian Perakaunan di Institut Teknologi Mara (kini UiTM) sehingga tahun 1970.

Selepas pengalaman sebagai akauntan di sektor swasta, Dr Megat Abdul Rahman telah dilantik sebagai Bendahari pertama UKM pada 1970 sehingga 1973. Beliau dilantik sebagai ahli lembaga pada 1998 hingga tahun ini.