Malaysia Lebih Demokratik Berbanding Pada Zaman Penjajah: Dr M

SELASA, 11 NOVEMBER 2014 16:30

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 10 November 2014 – Perselisihan faham dan perbezaan pendapat yang disuarakan secara bebas dalam masyarakat Malaysia sekarang membuktikan bahawa negara ini kini lebih demokratik daripada semasa pemerintahan British.

Presiden Kehormat Yayasan Kepimpinan Perdana, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata institusi demokrasi di Malaysia membenarkan perbezaan pendapat tetapi tertakluk kepada batasan yang diamalkan.

Merasmikan Persidangan Antarabangsa ke-5 Sains Sosial dan Kemanusiaan (ICOSH-UKM) 2014 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini, Tun Mahathir berkata negara kini stabil walaupun terdapat sedikit ketegangan kaum.

Berucap mengenai tema ICOSH 2014; Tamadun, Harapan dan Rasa Tidak Puas Hati, bekas Perdana Menteri berkata  perbezaan pendapat mengenai sesetengah dasar adalah sebahagian daripada proses demokrasi.

Semasa pemerintahan British demokrasi tidak wujud dan orang ramai tidak boleh secara terbuka menentang pemerintah kolonial yang memperkenalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 1948.

Walau bagaimanapun sebagai sebuah negara yang merdeka, penentangan pendapat secara terbuka dibenarkan walaupun terdapat undang-undang ISA.

“Kerajaan berusaha keras untuk menstabilkan keadaan dan kita masih hidup di sebuah negara yang stabil. Pengertian dan pemahaman antara mereka itu mungkin berbeza, tetapi kita tidak berperang,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa tidak ada penawar yang boleh digunakan untuk menyelesaikan semua pertikaian tetapi perundingan dan timbang tara adalah cara terbaik untuk menyelesaikan perselisihan faham, bukannya berperang.

Tun Mahathir berkata pilihan terakhir untuk menyelesaikan pertikaian adalah melalui pengadilan seperti Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Sebaik sahaja penghakiman dibuat semua pihak yang bersengketa harus menghormati keputusan itu. Walaupun tidak semua orang akan berpuas hati dengan sesuatu keputusan, ia juga perlu diterima mereka yang kalah dalam kes itu.

Beliau bagaimanapun menjelaskan pengorbanan perlu wujud bagi membolehkan Malaysia menguruskan masyarakat berbilang etnik dengan baik.

“Tamadun memberi kita harapan untuk wujud dalam masyarakat yang stabil, tetapi perlu ada pengorbanan. Undang-undang perlu dipatuhi walaupun keputusan yang dibuat tidak sesuai dengan cita rasa sendiri,” tambah beliau.

Pada majlis itu, Tun Mahathir juga telah melancarkan sistem baru untuk menerbitkan karya-karya dari persidangan empat hari itu dalam bentuk e-buku. Ia menggantikan sistem lama yang mana terbitan dicetak dalam buku. Sistem e-buku adalah sebahagian daripada Dasar Buku Negara.

E-buku itu boleh dibeli selepas persidangan anjuran Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK) yang akan berakhir Khamis ini.

Turut hadir pada majlis itu Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Dekan FSSK Prof Dr Hazita Azman, Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dr Mastura Mahmud dan Pengarah ICOSH-UKM 2014 Prof Madya Dr Wan Amizah Wan Mahmud.