Penerima Anugerah Pada Konvokesyen Ke-42

AHAD, 02 NOVEMBER 2014 10:54

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Pusat Komunikasi Korporat

BANGI, 1 November 2014 – Dua orang pelajar, seorang dari Fakulti Undang-Undang (FUU) dan seorang lagi dari Fakulti Pengajian Islam (FPI) telah menerima Anugerah Pelajar Diraja pada sesi pertama Majlis Konvokesyen ke-42 Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Surendra Ananth Anadaraju dari FUU menerima pingat emas bernilai RM1,000, wang tunai RM5,000 dan sijil penghargaan manakala Nurul Iman Binti Mohamad Anuar Kamal dari FPI menerima wang tunai RM1,000.

Anugerah Diraja dikhususkan kepada siswa yang menunjukkan kecemerlangan bukan sahaja dalam pengajian akademik tetapi menunjukkan kebolehan memimpin serta mempunyai keperibadian luhur yang sedia berbakti kepada masyarakat.

Anugerah Naib Canselor telah diberikan kepada Edna Tan Ai Lin yang memperolehi Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan dengan kepujian (cemerlang) bagi Kejuruteraan Kimia di Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina. Edna menerima wang tunai RM2,500 dan buku terbitan Penerbit UKM.

Anugerah Tun Abdul Razak pula disampaikan kepada Choo Yuen Phing dari FUU kerana kegiatannya dalam pertubuhan.

Anugerah Tun Abdul Razak bertujuan memberi penghargaan kepada individu dan pertubuhan yang telah memberi sumbangan cemerlang terhadap pembangunan negara selaras dengan objektif penubuhan Yayasan Tun Razak.