Permata Pintar Boleh Lahirkan Ramai Saintis Muda

JUMAAT, 21 NOVEMBER 2014 16:27

Oleh Haslina Ramlee (Pelajar Pelatih UPM)
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 18 November 2014 – Program PERTAMA Pintar akan dapat  mengatasi kekurangan modal insan dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) di negara ini.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor berkata generasi muda yang mampu membawa ilmu pengetahuan yang berbentuk saintifik ke era baru akan dapat dihasilkan melalui program tersebut.

Ketika merasmikan Bengkel Minda Nobel Laureate ke-3 di Pusat PERMATA Pintar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini, Datin Seri Rosmah berkata pelajar berminda ahli Nobel akan berjaya dalam dunia serba bersaing.

Pusat PERMATA Pintar Negara adalah satu-satunya pusat kecemerlangan di Malaysia untuk mengenalpasti pelajar-pelajar pintar dan berbakat dari seluruh negara untuk diberi peluang mengembangkan potensi dan bakat.

Bengkel lima hari itu disertai seramai 200 orang pelajar dengan melibatkan 20 orang guru dan 20 orang penyelidik muda dari seluruh negara. Ia dimulai kelmarin.

Datin Seri Rosmah yang juga penaung Program PERMATA berkata kesan positif program Nobelist sedang dirasai hari ini. “Saya diberitahu bahawa ahli saintis muda terus menjadi tulang belakang kepada masyarakat saintifik dengan menjemput pelajar sekolah menegah untuk bekerja dalam projek mereka,” katanya.

Lebih 96% pelajar PERMATA Pintar telah memilih untuk belajar dalam sains asas dan matematik, katanya.

Beliau berharap program seumpama dapat diperluaskan untuk memanfaatkan lebih ramai pelajar sekolah di seluruh negara.

Pelajar yang pernah menyertai bengkel demikian sebelum ini berkata ia telah membantu memperkukuh dan memotivasikan minat mereka dalam pendidikan STEM, kata Datin Seri Rosmah.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Perunding Kanan Program PERMATA Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin, Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Dato’ Dr Asma Ismail, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi), Dato’ Dr Mazlin Mokhtar dan Pengarah Pusat PERMATA Pintar Negara, Dato’ Dr Noriah Mohd Ishak.

Sejak ditubuhkan tahun lalu, Bengkel Minda Nobel Laureate telah mengumpul seramai 400 orang pelajar sekolah menengah dan 40 orang sainstis muda untuk berinteraksi dengan 40 orang guru sebagai ahli sains di Pusat PERMATA Pintar UKM.