Sistem Penyelesaian Tanah Adat Perlu Diubah: Penyelidik UKM

JUMAAT, 07 NOVEMBER 2014 14:50

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 6 November 2014 – Satu sistem penyelesaian pertikaian tanah adat (ILDR) untuk penduduk Orang Asli Malaysia amat diperlukan kerana projek-projek pembangunan tanah di Semenanjung, Sabah dan Sarawak menghadapi tentangan dari mereka.

Seorang pensyarah kanan di Fakulti Undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Madya Dr Rohaida Nordin berkata undang-undang dan institusi yang sedia ada tidak memadai untuk menjamin perlindungan keseluruhan bagi orang asal negara ini.

Beliau telah membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Mekanisme Penyelesaian Sengketa Tanah Adat’ pada sesi pertama Kongres Penyelidikan dan Inovasi 2014 di sini hari ini. Kongres itu dianjurkan oleh nic Politik dan Keselamatan UKM.

Dr Rohaida berkata sistem penyelesaian pertikaian sedia ada tidak memenuhi keperluan Orang Asli dan Pribumi kerana tidak mengambil kira unsur-unsur sosial dan budaya mereka yang berbeza.

Beliau berkata jurang dan kekurangan itu didapati telah tidak adil terhadap masyarakat adat, terutama Orang Asli, hingga mengganggu agenda pembangunan tanah yang lestari.

Dr Rohaida berkata objektif utama kumpulan penyelidik yang diketuainya adalah untuk menyiasat keperluan mewujudkan suatu kaedah untuk menyelesaikan pertikaian tanah melibatkan Orang Asli dan Pribumi.

“Undang-undang Malaysia tidak mengiktiraf tanah adat Orang Asli. Hanya pemegang saham individu diiktiraf,” katanya.

Susulan penyelidikan beliau, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), mengesyorkan kerajaan persekutuan menubuhkan Tribunal atau Suruhanjaya Tanah Adat, Mahkamah Tanah Orang Asli atau Ombudsman atau mekanisme Perunding Cara.

Malaysia perlu memberi perhatian kepada masalah itu kerana sebagai ahli Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), ia juga bertanggungjawab untuk mematuhi pengisytiharan PBB mengenai Hak-Hak Orang Asal dan Kewajaran Hak Masyarakat Adat, kata Dr Rohaida.

Dakwaan kononnya piagam PBB itu hanyalah suatu pernyataan dan bukan perjanjian yang mengikat adalah alasan semata-mata untuk mengelak tanggungjawab kerajaan terhadap orang asli.

“Malaysia mempunyai tanggungjawab moral kerana undang-undang Malaysia harus padan dengan undang-undang antarabangsa,” tambah beliau.

Misalnya Akta Orang Asli 1954 (APA 1954) diluluskan untuk melindungi kesejahteraan masyarakat Orang Asli di Semenanjung Malaysia, tetapi undang-undang yang sedia ada masih tidak memadai untuk menentukan perlindungan itu, tegas beliau.

Dr Rohaida berkata pasukan penyelidikannya akan membuat syor berdasarkan amalan dan undang-undang yang wujud untuk mekanisme alternatif ILDR, yang sepatutnya memberi kuasa kepada orang-orang asal dalam hal autonomi dan penentuan nasib mereka sendiri.

Pasukan penyelidikannya itu akan membantu kerajaan memenuhi matlamat bagi mewujudkan agenda pembangunan tanah yang lestari sebagai sebahagian daripada pelan transformasi ekonomi.

Dr Rohaida berkelulusan PhD dalam bidang Undang-undang dari Universiti Lancaster, England. Beliau adalah pakar Undang-undang Antarabangsa mengenai hak masyarakat adat.

Kongres ini telah dirasmikan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar, yang mencabar penyelidik UKM mengkaji kemungkinan menjadikan Kudat di hujung timur-utara Sabah sebagai Taman Laut bagi menggalakkan pembangunan lestari di kawasan sempadan itu.

Prof Mazlin berkata kawasan itu yang sering menghadapi masalah pencerobohan sempadan hingga menjejaskan keselamatan boleh dijadikan aset ekonomi jika dimajukan.

Turut hadir pengerusi nic Politik dan Keselamatan Prof Dr Rashila Ramli dan Timbalan Dekan (Pasca Siswazah dan Hubungan Antarabangsa) Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Prof Dr Fuad Mat Jali.