UKM Gondol 7 Anugerah Di Karnival E-Pembelajaran

RABU, 19 NOVEMBER 2014 12:47

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

SHAH ALAM, 14 November 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) membolot tujuh anugerah daripada 12 yang dipertandingkan pada Karnival E-Pembelajaran Universiti-Universiti Kebangsaan (NUCel) 2014.

Pusat Teknologi Pengajaran dan Pembelajaran UKM yang diketuai Profesor Dr Mohamed Amin Embi memenangi anugerah Pengurusan E-Pembelajaran Terbaik dalam upacara penyampaian hadiah yang berlangsung di sini hari ini.

Prof Mohd Amin secara peribadi menerima anugerah dalam tiga kategori lain; Tokoh E-Pembelajaran Pengajian Tinggi, Fasilitator E-Pembelajaran Terbaik dan Bahan E-Pembelajaran Kreatif dan Interaktif (Mobile apps).

Pemenang UKM yang lain ialah Prof Madya Dr Melor Md Yunos bagi kategori E-Pembelajaran Kaedah Kreatif (Blended Learning, Flipped Learning dan Project Backed Learning), Dr Ahmad Zamri untuk E-Pembelajaran Kreatif dan Interaktif (Umum) dan Prof Madya Dr Rosseni Din bagi Blog/Wiki E-Pembelajaran Terbaik.

Pemenang-pemenang lain adalah seperti berikut:

Anugerah Sistem Pengurusan Pembelajaran Terbaik, Pusat I-Learn Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Bahan E-Pembelajaran Kreatif dan Interaktif (Video), Dr Zaleha Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Anugerah MOOC (Massive Open Online Course ), Taylor’s University.

Anugerah Open Councel Ware, Chong Yee Ling dan Badiozaman Sulaiman dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Tiada pemenang diisytiharkan bagi kategori Sistem Pengurusan Pembelajaran Terbaik (Kendiri).

Karnival NUCel 2014 yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan, Majlis E-Learning IPTA Malaysia dan UiTM bertujuan menyediakan platform mempromosikan aplikasi e-pembelajaran dan amalan Pembelajaran Beradun (Blended Learning).

Ia disertai oleh Institut Pengajian Tinggi Awam dan Swasta seluruh negara bersama rakyat Malaysia.