Dr M: Kurikulum Universiti Perlu Dipadankan Dengan Perubahan Global

KHAMIS, 21 OGOS 2014 12:37

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ra’ai Othman dan Izwan Azman

BANGI, 12 Ogos 2014 – Universiti tempatan harus menyediakan kurikulum pelajaran yang menyedarkan siswa mereka dengan perubahan global yang akan membawa kesan kepada pasaran pekerjaan di Malaysia.

Mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata para akademik dan penyelidik mesti menerima perubahan yang berlaku dalam pasaran tanpa terlalu berpegang kepada perasaan nasionalisme yang sempit.

Beliau telah menyampaikan ucaptama bertajuk Membentuk Semula  Akademik Bagi Kebangkitan Pasaran Membangun,  di Persidangan Pasaran Perniagaan Negara-Negara Membangun di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) hari ini. Tun Mahathir berkata universiti perlu bertindak cepat kerana perubahan yang sedang berlaku tidak dalam kawalan negara.

Ceramahnya itu adalah pembuka tirai kepada persidangan di Persada Canselori UKM yang turut disertai empat tokoh ekonomi termasuk Naib Canselor Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali.

Dr Mahathir berkata tenaga akademik dan penyelidik perlu lebih mahir dengan sistem penyaluran maklumat yang semakin pantas dan tidak terhad kepada batas sempadan seperti 20 tahun lalu.

“Bagi memahami dan menyerap pengetahuan, kita perlu menguasai bahasa lain, bukan sahaja bahasa ibunda kita. Pada zaman kegemilangan sains Islam, ulama Muslim mempelajari bahasa Yunani dan Latin supaya mereka boleh menerbitkan  buku ilmu dalam bahasa Arab. Akhirnya, bahasa Arab menjadi bahasa berilmu pada zaman kegemilangan tamadun Islam,” katanya.

Para saintis Arab kemudiannya membuat penemuan dan inovasi dalam sains, teknologi, perubatan dan kaji bintang yang dipelajari oleh rahib-rahib Kristian di Eropah yang pada masa itu berada dalam keadaan kegelapan ilmu.

Para sarjanawan Kristian pula telah mempelajari bahasa Arab dan Farsi. Lama kelamaan penyelidik Barat membuat penyusulan kepada penemuan Islam yang menjadi asas sains pada zaman pertengahan di Eropah dan kini mereka pula menguasai teknologi.

“Sekarang dengan Barat menguasai teknologi, kita pula mesti mempelajari bahasa mereka. Adalah penting kita belajar daripada orang lain dan mengelak dari terlalu terkongkong dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Kalau tidak, kita akan ketinggalan,”  tambah beliau.

Universiti, katanya, bertanggungjawab untuk menyediakan siswa tempatan yang boleh menghadapi pasaran pekerjaan yang semakin kompetitif.

Warga UKM serta siswa pertukaran daripada Poland, Mexico dan negara-negara ASEAN turut menyertai persidangan itu.

Ketua Eksekutif Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Dato’ Hafsah Hashim serta pengasas dan penasihat Emkay Holdings Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar turut memberi ceramah di persidangan itu.