Ijazah Kedoktoran Berkembar

ISNIN, 11 OGOS 2014 15:53

Oleh Shahfizal Musa
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Ogos 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Flinders University Australia (FUA) hari ini telah memeterai Perjanjian Cotutelle yang membolehkan pelajar PhD dalam bidang teknologi nano menerima ijazah dari kedua-dua universiti itu.

Perjanjian program berkembar itu telah ditandatangani oleh kedua Naib Canselor mereka, Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali bagi pihak UKM dan Profesor Micheal Barber bagi FUA.

Seramai empat orang pelajar telah dipilih sebagai pelopor program itu. Salah seorang daripada mereka Muhammad Taqiyuddin Mawardi bin Ayob akan menjalankan kajian untuk membangunkan bahan kaca baru yang boleh mengesan radiasi.

Setiap pelajar di bawah program itu akan menghabiskan dua tahun di UKM dan satu tahun di FUA dengan mereka di pantau oleh dua orang penyelia, masing-masing di UKM dan di FUA.

Prof Noor Azlan berkata kerjasama itu merupakan suatu peluang yang baik untuk pelajar UKM memainkan peranan dalam pembangunan teknologi nano.

Beliau berkata walaupun bidang teknologi nano kecil ia tidak harus dipandang ringan sebagaimana juga dalam bidang ekonomi, perhatian sedang diberikan kepada mikro ekonomi untuk mendapatkan gambaran yang lebih tepat mengenai fungsi terbaik sesuatu bidang ekonomi.

Prof Barber berkata UKM dan FUA telah menjalinkan hubungan kerjasama yang kukuh di mana kakitangan mereka telah pun mengadakan lawatan kerja untuk penyelidikan serta menghadiri bengkel dan kerja-kerja makmal seperti patologi pertuturan.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan Fakulti Sains dan Teknologi Profesor Sharim Ahmad, Pro Naib Canselor (Antarabangsa) FUA Prof Nancy Cromar dan delegasi.