Negara Membangun Semakin Penting Dalam Ekonomi Dunia

RABU, 20 OGOS 2014 14:12

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 12 Ogos 2014 – Ekonomi negara-negara membangun kini sudah menjadi lebih penting sebagai petunjuk kedudukan ekonomi global.

Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Profesor Dato’ Dr Noor Azlan Ghazali berkata kini terdapat suatu trend di mana prestasi negara-negara berpendapatan sederhana seperti Malaysia terus berkembang walaupun ekonomi negara maju bergoyah.

Beliau telah menyampaikan ceramah bertajuk Transformasi Negara – Pengalaman Malaysia di Persidangan Perniagaan Pasaran Negara Membangun di sini hari ini. Malaysia, katanya, menyedari ia tidak boleh bergantung kepada Barat sahaja untuk perdagangan.

Dengan itu Malaysia dan negara-negara Amerika Latin seperti Mexico dan Venezuela telah mengukuhkan hubungan perdagangan mereka secara langsung tanpa melalui Barat kerana telah sedar bahawa mereka boleh maju dengan mempelbagaikan sumber perdagangan.

Prof Noor Azlan berkata Perdana Menteri keempat Tun Dr Mahathir Mohamad membayangkan bahawa Malaysia boleh menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Walaupun berlaku Krisis Kewangan Asia pada tahun 1997, Malaysia berjaya mengatasinya dan berkembang maju apabila bertindak di luar jangkaan seperti mengenakan kawalan mata wang.

Pada awal tahun 1970an ekonomi dunia ditentukan oleh negara perindustrian Barat seperti Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Switzerland dan lain-lain.

Bagaimanapun menjelang alaf baru, negara-negara Asia Timur mula menunjukkan pertumbuhan tinggi walaupun Amerika dan Kesatuan Eropah merosot.

Buat masa ini Eropah Barat dan Amerika Syarikat tidak mencatat pertumbuhan. Bagaimanapun negara-negara Asia Tenggara terus mencatatkan pertumbuhan sekurang-kurangnya 4% atau lebih.

Prof Noor Azlan berkata salah satu sebabnya ialah negara-negara yang baru muncul itu telah mengadakan rakan perdagangan baru.

Bagaimanapun ekonomi global kini menghadapi masa depan yang tidak menentu dan akan terus menjejaskan negara membangun kerana mereka masih bergantung kepada negara maju untuk perdagangan.

Menyedari hakikat itu, negara anggota ASEAN telah bersetuju untuk membentuk Komuniti Ekonomi ASEAN pada tahun 2015 sebagai langkah pertama untuk integrasi ekonomi.

Semasa sesi soal jawab, Prof Noor Azlan berkata ASEAN bertujuan untuk menyeragam dan menyamakan peraturan pelbagai sektor termasuk pendidikan dan kewangan.

Beliau menjawab soalan daripada seorang pelajar Filipina yang bertanya sama ada pelajar-pelajar negara ASEAN boleh memindahkan jam kredit kursus mereka ke universiti lain dalam ASEAN.

Antara yang hadir pada persidangan itu adalah pelajar pertukaran dari Poland, Mexico dan pelajar universiti ASEAN yang mengambil bahagian dalam program sukarelawan belia di UKM.

Sebelum itu Tun Dr Mahathir telah memberikan ucaptama pada persidangan itu. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia Dato’ Hafsah Hashim dan pengasas serta penasihat Kumpulan Emkay Tan Sri Mustapha Kamal Abu Bakar.