Pakar Sosiologi: Perang Dunia Pertama Mengakibatkan Penderitaan Ekonomi Dan Pergolakan Sosial Di Malaya

KHAMIS, 14 OGOS 2014 18:36
Oleh Saiful Bahri Kamaruddin

Foto Shahiddan Saidi, Ikhwan Hashim dan Ihsan Bodleian Library

BANGI, 8 Ogos 2014 – Walaupun peperangan tidak berlaku di Malaya, tanah jajahan British semasa Perang Dunia pertama antara 1914-1918 rakyat biasanya mengalami penderitaan ekonomi, pergolakan sosial serta penindasan terhadap hak asasi mereka.

Ahli sosiologi terkemuka Profesor Emeritus Dato’ Abdul Rahman Embong berkata tonggak ekonomi Malaya ketika itu, getah dan timah, terjejas teruk akibat peperangan itu hingga membawa kepada penderitaan teruk terhadap pekerja dalam industri itu terutamanya pekebun kecil Melayu dan pekerja lombong timah.

Prof Abd Rahman telah menghuraikan hasil penyelidikannya itu pada Persidangan Peringatan ulang tahun ke-100:Menghayati Semula Perang Dunia I, di sini hari ini.

Beliau berkata penjajahan British juga mengenakan sekatan akhbar ketika itu selain menyekat eksport getah kepada musuhnya Jerman, Austria dan Turki.

Larangan eksport itu dikenakan di seluruh dunia untuk menghalang musuhnya daripada mengimport bahan itu melalui negara-negara berkecuali. Malah Amerika Syarikat, yang ketika itu tidak memihak kepada mana-mana negara, juga tidak terkecuali dari sekatan itu. Bagaimanapun Amerika diberikan kelonggaran apabila ia menyertai peperangan memihak ke Britain pada tahun 1917. Industri motor Amerika amat bergantung kepada import getah daripada empayar British.

Persidangan tiga hari yang bermula pada 6 Ogos adalah untuk memperingati ulang tahun ke-100 perang dunia pertama itu. Ia dianjurkan oleh Pusat Kajian Occidental (IKON) daripada Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di bawah program kajian Eropah. Ia ditaja oleh Institut Goethe dan Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur.

Prof Abd Rahman, Felo Utama IKMAS, berkata masalah ekonomi menjadi lebih buruk akibat kemerosotan industri getah berikutan lebihan pengeluaran dan kejatuhan harga.

Ladang-ladang besar milik British mengurangkan tenaga kerja yang kebanyakannya pekerja tempatan. Mereka yang dibuang kerja tidak mendapat ganti rugi, walau pun London kemudiannya membayar pampasan kepada estet milik Eropah selepas berakhirnya perang.

Untuk membiayai perang di Eropah, penjajah British telah mengenakan cukai yang lebih berat yang tidak dapat diterima oleh orang Melayu miskin hingga  menimbulkan sentimen anti-British.

Dengan kedudukan kewangan yang ketat dan ekonomi merosot, pihak berkuasa British membenarkan ladang membayar pekerja dengan barangan keperluan dan tidak lagi secara tunai.

Prof Abd Rahman berkata dasar British itu bukan sahaja membawa kepada kemerosotan ekonomi, tetapi juga menimbulkan kemelut sosial dan penindasan, terutama di kalangan orang Melayu.

Beliau juga telah menghuraikan pelbagai perlakuan penjajah British yang tidak diketahui ramai. Pihak British, katanya, khuatir umat Islam bersimpati dengan Turki, atau Khalifah Uthmaniyyah, sekutu kuasa-kuasa Tengah dan dengan itu telah mengharamkan berita dari agensi berita asing bebas yang melaporkan kemajuan Turki semasa perang, seperti kegagalan serangan British di Gallipoli, Turki pada tahun 1915.

Malahan penulisan mengenai hak orang Melayu dan umat Islam diharamkan dari penerbitan manakala usaha mengumpul dana melalui akhbar dan sembahyang hajat untuk mendoakan kemenangan bagi empayar Uthmaniyyah diharamkan, kata Prof Abd Rahman.

Penyekatan berita dan penapisan telah menjejas beberapa akhbar seperti surat berita Melayu popular Neracha, yang telah menimbulkan kesedaran di kalangan orang Melayu mengenai tuntutan kemerdekaan secara terang-terangan.

Penutupan Neracha merupakan satu tamparan hebat kepada ramai orang Melayu yang tidak mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan berita.

Namun demikian kawalan ketat itu tidak dapat menyekat kekaguman orang Melayu terhadap empayar Uthmaniyyah dan khalifahnya, kata Prof Abd Rahman.

Khalifah Uthmaniyyah dilihat sebagai pemimpin empayar terbesar Islam dan sumber kebanggaan bagi umat Islam di seluruh dunia. Ini mencetuskan beberapa kebangkitan dan rusuhan yang melibatkan orang Islam hingga ia ditumpaskan dengan kejam oleh British.

Tindakan British itu adalah penindasan terhadap gerakan kemerdekaan awal dengan mereka yang terlibat dikenakan hukuman kejam sebagai ‘pengkhianat’ dan dalang.

Aktivis hak asasi Islam seperti pemilik kedai kopi Kasim Mansur dan pendakwah Nur Alum Shah telah perjuangkan penumpasan empayar British sebagai perang jihad kerana kerajaan Uthmaniyyah Turki memerangi Britain dan Perancis.

Kasim dan Nur Alum telah terlibat dalam apa yang dikenali sebagai peristiwa berdarah di Singapura pada tahun 1915. Mereka ditangkap, dibicarakan dan dihukum tembak bersama pejuang lain yang dianggap sebagai pemberontak.

Pada mulanya mereka itu terdiri daripada askar Muslim dari India yang ditempatkan di Singapura untuk dihantar ke medan pertempuran di Eropah. Tetapi mereka telah menyertai umat Islam tempatan di Singapura dan Johor. Umat  Islam yang lain, seperti bekas editor Neracha, K. Anang, telah diusir keluar ke Jawa.

Satu lagi peristiwa berdarah yang menyedihkan yang turut disebut Prof Abd Rahman adalah apa yang dikenali sebagai Pemberontakan Petani di Pasir Putih, Kelantan yang dipimpin oleh Haji Mat Hassan atau lebih dikenali sebagai Tok Janggut.

Tok Janggut yang dipengaruhi oleh gerakan jihad terhadap empayar British sedih melihat orang Melayu miskin dibebani dengan cukai, di diskriminasi selain rakyat Melayu Kelantan diberi layanan buruk oleh British. Tok Janggut kemudiannya ditangkap, ditembak oleh skuad penembak dengan mayatnya yang ditelanjangkan digantung terbalik untuk tontonan umum.

Prof Abd Rahman menyimpulkan bahawa Perang Dunia Pertama adalah konflik global antara kuasa-kuasa besar Eropah yang mahu melindungi kepentingan jajahan mereka tetapi telah menyebabkan kesengsaraan di wilayah yang tidak terbabit secara langsung dengan peperangan itu.

Bagaimana pun orang Melayu melihatnya sebagai suatu serangan ke atas umat Islam hingga meninggalkan kesan mendalam kepada mereka dan membentuk kesedaran politik Melayu terhadap penjajahan Barat yang kemudiannya membawa kepada kebangkitan gerakan kebangsaan di wilayah Nusantara.

Sekitar dua puluh orang penyelidik dan ahli akademik dari Malaysia, Britain, Jerman, Perancis, Rusia, Iran, Jepun dan Hungary membentangkan kertas mereka pada persidangan itu.

Turut hadir Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli, Timbalan Pengarah Prof Madya Dr Noraini Md Yusof, Felo Kanan Prof Dr Jaroslaw Suchoples dan Duta Besar Jerman ke Malaysia Michael Holger antara lain.