Pelancongan Di Langkawi Perlu Di Kawal

JUMAAT, 29 OGOS 2014 12:32

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Izwan Azman

BANGI, 25 Ogos 2014 – Pelancongan di kepulauan Langkawi yang menerima status Geopark oleh UNESCO perlu dikawal dengan teliti supaya kemasukan pelawat dan pelancong yang semakin meningkat tidak akan memusnahkan keaslian alam sekitar pulau legenda itu.

Sebuah pertubuhan, Sahabat Geopark Langkawi (SAGEL) sedang berusaha meningkatkan kesedaran terhadap risiko pencemaran alam sekitar kepulauan itu.

Sarjana Tamu Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dato’ (Dr) Kamarulzaman Abdul Ghani berkata instutit itu bertungkus-lumus berusaha mengekalkan status geopark serta membangunkannya menjadi antara destinasi pelancongan paling penting di dunia.

Beliau telah menyampaikan syarahan umumnya bertajuk Penubuhan Geopark Langkawi: Satu Perjalanan Pengalamananjuran LESTARI di sini hari ini.

Beliau berkata LESTARI bersama Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) cuba untuk menyatukan pihak berkepentingan dan penduduk tempatan untuk meningkatkan kesedaran terhadap status Geopark untuk kepulauan lagenda itu.

Anugerah sebagai Goepark UNESCO pada 2007 itu menyebabkan peningkatan jumlah pelawat dan pelancong ke kepulauan itu yang memungkinkan kesukaran untuk mengekalkan statusnya itu akibat kesan negatif daripada pelancong yang semakin meningkat ke kepulauan indah itu.

Dr Kamarulzaman berkata “Dalam aspek pemuliharaan, kita lihat kini bahawa Taman Geoforest Killim menerima terlalu ramai pengunjung. Pelancongan tidak dikawal dan terdapat banyak bot-bot yang berulang alik di sungai Killim sehingga tebingnya serta hutan paya bakau sekitarnya terjejas teruk.”

Taman Geoforest Killim adalah salah satu daripada beberapa tarikan Langkawi yang paling popular, seperti Gunung Machinchang dengan kereta kabel dan jambatan langitnya.

Beliau berkata LESTARI dan LADA sedang bekerjasama menghadapi cabaran besar untuk menyedarkan rakyat mengenai kepentingan memelihara alam sekitar di Langkawi.

Orang ramai kurang jelas mengenai status Geopark kepulauan itu termasuk pihak yang berkepentingan. “Kita perlu meyakinkan UNESCO bahawa kita boleh mengekalkan status itu supaya ekonomi tempatan dapat dibangunkan lagi,” kata Dr Kamarulzaman.

Terdapat juga laporan bahawa pihak berkuasa tidak mengambil tindakan ke atas pengunjung yang mencuri sampel geologi daripada batu Langkawi – iaitu batu yang tertua di Asia Tenggara.

Langkawi wujud lebih daripada setengah bilion tahun lalu, sebelum puncak Gunung Everest dan pergunungan Himalaya berada pada kedudukan sekarang. Langkawi mempunyai ekologi yang unik, seperti mana pulau lain yang terpisah daripada tanah besar oleh samudera.

Dato’ Kamarulzaman berkata Gunung Machinchang, salah satu puncak di Pulau Langkawi, merupakan bahagian pertama di Asia Tenggara yang timbul dari dasar laut pada zaman Cambrian 550 juta tahun lalu. Hutan tropika yang tebal yang melekat di sisi gunung itu telah berkembang dan berubah selama berjuta-juta tahun.

Ciri-ciri demikian itulah yang membawanya termasuk dalam senarai Geopark UNESCO pada tahun 2007, iaitu yang pertama di Asia Tenggara. Penganugerahan itu telah menyebabkan peningkatan pelancongan dan menjadi sumbangan penting terhadap pengetahuan mengenai Bumi.

Penyenaraian status Geopark itu merangkumi seluruh Langkawi dengan dibahagikan kepada tiga wilayah: Gunung  Machinchang, Kilim Karst dan taman Marmar Geoforest Pulau Dayang Bunting.

Seperti kebanyakan pengiktirafan UNESCO termasuk “warisan dunia” dan “Geopark” telah membantu kedudukan Langkawi sebagai destinasi pelancongan yang berprestij, dengan peningkatan jumlah pelancong beberapa tahun kebelakangan ini hingga merangsangkan pendapatan masyarakat Langkawi.

Antara yang hadir pada syarahan itu ialah Pengarah LESTARI Prof Dr Mohd Raihan Tahar dan Timbalannya Prof Dr Che Aziz Ali serta Pengarah Pusat dan Institut UKM.