Perbincangan Meja Bulat UNESCO and IKMAS

KHAMIS, 21 OGOS 2014 12:11

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 12 Ogos 2014 – Dunia yang didorong perkembangan globalisasi, perubahan alam sekitar, ketidaktentuan ekonomi dan kewangan sedang menghadapi pelbagai perubahan sosial hingga mewujudkan kemiskinan tegar, perbedaan yang semakin ketara serta penafian hak asasi manusia kepada yang terpinggir.

Dengan sebab itu ia memerlukan penyelesaian segera lagi berinovatif untuk memenuhi nilai universal bagi menjamin wujudnya keamanan dan kesaksamaan demi menghindari perlakuan keganasan dan diskriminasi,” kata Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Dato’ Sri Dr Noorul Ainur Mohamad.

Beliau telah merasmikan perbincangan meja bulat bertajuk “Pendekatan Dasar Inklusif dan Jurang Data, Cabaran dan Peluang: Kajian Kes Terpilih di ASEAN” di sini hari ini. Beliau adalah juga Naib Presiden Majlis Antara Kerajaan (IGC) bagi Program Transformasi Sosial Wilayah Asia Pasifik UNESCO.

Persidangan itu dianjurkan oleh UNESCO dan Institut Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Universiti Melbourne dan Trinity College Dublin.  Ia bertujuan mencari jalan untuk menyampaikan hasil penyelidikan dan data sains sosial yang berkaitan kepada pihak berwajib.

Dr Noorul berkata perbincangan meja bulat demikian penting kerana ia menggalakkan penyelesaian inovatif yang akan mengambil kira keperluan dan aspirasi rakyat, tanpa mengira jantina, umur dan status disamping menumpukan secara khusus kepada kumpulan yang berkurangan.

Beliau berkata Malaysia yang telah mengadakan Dasar Sosial Negara pada 2003 dan komited sepenuhnya untuk memaju dan mengadakan persekitaran adil yang menghormati budaya, bahasa, kepercayaan dan tradisi semua rakyatnya.

Matlamatnya adalah untuk mewujudkan satu masyarakat Malaysia yang progresif dengan setiap anggota masyarakat berpeluang untuk memajukan potensi mereka secara optimum di dalam persekitaran sosial yang sihat berdasarkan ciri perpaduan, daya tahan, demokrasi, toleransi dan kesaksamaan.

Dr Noorul berkata pembentukan ASEAN, yang berpusat pada rakyat, boleh dianggap sebagai langkah konkrit ke arah merealisasikan aspirasi rakyat untuk mencapai tadbir urus yang baik, ketelusan, meningkatkan taraf hidup rakyat mereka melalui pembangunan mampan selain meperkasakan wanita disamping menyediakan peluang yang lebih baik untuk semua.

Beliau yakin Malaysia akan terus memberi sumbangan besar kepada hala tuju masa depan ASEAN terutama dalam usaha menjamin perlindungan hak asasi manusia bagi semua rakyat serta menggalakkan penyertaan mereka dalam semua bidang.

ASEAN, katanya, memerlukan persekitaran yang inklusif dan yang mengambil kira pengetahuan, pengalaman, sumbangan dan keperluan semua kumpulan penduduk.

Perbincangan demikian membolehkan maklumat serta pandangan dapat dikumpulkan dan dimajukan kepada pimpinan masing-masing dalam usaha untuk menyediakan dasar yang akan memberi pertimbangan kepada peranan semua tanpa terhad kepada kumpulan berada dan berpangkat sahaja.

Perbincangan itu disertai wakil pelbagai agensi kerajaan dan ahli akademik dari dalam dan luar negara.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UKM, Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar hadir mewakili Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali. Pengarah IKMAS Prof Dr Rashila Ramli dan Pengarah serta Wakil Pejabat UNESCO Jakarta Prof Hubert Gijzen turut hadir.