UKM Bantu Wujudkan Muzium Maya Pertama Di Malaysia

RABU, 20 OGOS 2014 08:29

Oleh Shahfizal Musa
Foto Shahiddan Saidi

KUALA TERENGGANU, 12 Ogos 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang berusaha membangunkan Muzium Negeri Terengganu (MNT) sebagai sebuah muzium maya pertama di Malaysia.

Suatu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani di sini hari ini antara UKM dan MNT yang membolehkan kerjasama itu.

Ia akan membolehkan pelawat ke portal MNT melihat dan meneliti lebih daripada 700 artifak bersejarah negeri Terengganu di atas talian.

Kini terdapat hanya dua buah muzium di dunia yang mempunyai kemudahan seperti yang sedang dibangunkan di MNT.

Beberapa orang pakar UKM telah pun menjalankan usaha itu sejak enam bulan lalu dan projek itu di jangka akan siap dalam tempoh dua tahun.

MoA itu telah ditandatangani oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UKM Profesor Datin Nor Aziah Mohd Awal dan Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Terengganu Dato’ Haji Mazlan bin Ngah.

Muzium maya itu bukan menjadi suatu galeri atas talian sahaja tetapi adalah suatu kemudahan terkini menjadikan muzium yang bersifat tempatan itu kepada pusat rujukan antarabangsa.

Prof Nor Aziah berkata kerjasama itu membolehkan warisan Terengganu dikongsi ke seluruh dunia dan ia juga adalah suatu contoh bagaimana UKM melaksanakan peranannya sebagai pendaulat amanah negara.

Muzium maya itu juga akan dapat menjana pendapatan selain menjadikannya sebagai perintis muzium maya di Malaysia dan salah satu muzium terkehadapan di dunia.

Dato Mazlan berkata semua artifak yang dimiliki MNT akan dapat diakses secara atas talian dengan bayaran dikenakan bagi mereka yang ingin melihat imej dan maklumat artifak secara terperinci. Ia juga akan menjadikan MNT sebagai sebuah pusat warisan tempatan yang mempunyai capaian global.

Kerjasama UKM dan MNT itu hanya menggunakan kepakaran kedua institusi yang sedia ada dan dengan itu telah menjimatkan kos mendapatkan kepakaran asing.

Turut hadir pada majlis itu ialah Dekan Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Prof Dr Abdullah Mohd Zin serta wakil UKM dan MNT.