UKM Perlu Bekerjasama Dengan Industri Makanan Untuk Selesaikan Persepsi Salah Terhadap Halal Dan Keracunan

KHAMIS, 28 OGOS 2014 12:28

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 20 Ogos 2014 – Penyelidik di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan syarikat-syarikat perlu berusaha pantas untuk menangani persepsi berterusan orang ramai terhadap kesahihan halal dan keracunan pelbagai produk makanan.

Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali berkata persepsi negatif demikian jika tidak dapat dihapuskan berpotensi merosakkan penjualan dan daya maju komersial beberapa produk makanan keluaran negara.

Beliau menggesa penyelidik di Pusat Teknologi Sains Kimia dan Teknologi Makanan, Fakulti Sains dan Teknologi (FST) dan pihak swasta bekerjasama untuk menyelesaikan isu mendesak yang boleh memberi kesan negatif kepada industri makanan dan minyak yang boleh dimakan di negara ini.

Ketika merasmikan Persidangan Antarabangsa Minyak dan Lemak Malaysia (SMILE) 2014 yang dianjurkan oleh FST di sini hari ini, Prof Noor Azlan melemparkan cabaran kepada fakulti untuk bekerjasama dengan syarikat berkaitan menghapuskan kesangsian orang ramai terhadap keadaan ketoksikan serta status halal makanan.

Beliau percaya terdapat pautan antara modal dan para penyelidik di universiti. Isu-isu keracunan dan produk halal perlu ditangani segera. Kepakaran dan kemudahan yang ada di fakulti boleh membantu pihak industri menghadapi masaalah demikian itu, katanya.

Prof Noor Azlan berkata penyelidikan saintifik perlu meyakinkan orang ramai mengenai keselamatan dan kesahihan produk halal, termasuk minyak dan produk berasaskan lemak. Penyelidikan perlu memainkan peranan penting untuk meningkatkan  pemahaman serta dapat menyelesaikan kesangsian demikian itu dengan bukti.

Beliau membayangkan UKM menjadi Teknopolis atau Taman Teknologi di mana penyelidik, ahli akademik dan industri berkerjasama untuk menghasilkan inovasi.

Visi beliau ialah UKM menempatkan taman penyelidikan yang menyokong kerjasama universiti-industri dan kerajaan dengan niat mewujudkan pembangunan ekonomi teknologi tinggi dan memajukan pengetahuan.

Ilham UKM menjadi sebuah taman teknologi muncul semasa beliau melawat Turki pada bulan April, di mana UKM telah menandatangani memorandum persefahaman dengan dua institusi penyelidikan Turki.

“Dalam satu kampus (di Turki), mereka mempunyai 600 projek bersama antara ahli akademik dan syarikat. Bagi UKM, Pusat Inovatif Kolaborasi (PIK) perlu mendapatkan 20 ahli fakulti untuk memberi tumpuan kepada penyelidikan itu dan memastikan seluruh kampus sedar mengenainya,” ujar beliau.

Beliau berkata tema persidangan itu “Kimia Oleo Lestari dan Hijau: Memelihara Masa Depan” adalah penting kerana kerjasama antara universiti, pusat penyelidikan dan industri akan memperluas dan mempercepatkan kesan penyelidikan, pembangunan dan pengkomersilan minyak dan produk berasaskan lemak.

Hampir tujuh puluh penyelidik dan wakil sektor swasta telah mengambil bahagian dalam persidangan dua hari itu.

Turut hadir pada perasmian itu ialah Dekan FST Prof Dr Sahrim Ahmad, Timbalan Dekan, Penyelidikan dan Inovasi (FST) Prof Dr Rusli Daik, Pengerusi Pusat Pengajian Sains Kimia dan Teknologi Makanan Prof Madya Dr Wan Aida Wan Mustapha dan Pengerusi SMILE 2014 Dr Muhammad Rahimi Yusop.