Universiti Disaran Ikuti Jejak UKM Menggalakkan Kesukarelawanan

KHAMIS, 21 OGOS 2014 13:22

Oleh Shahfizal Musa
Foto Izwan Azman

BANGI, 19 Ogos 2014 – Universiti dalam negara disaran mencontohi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang memberi penekanan kepada siswanya untuk bergiat dalam kegiatan kesukarelawanan dan badan-badan beruniform.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi berkata semangat kesukarelawan harus dipupuk dan dilaksanakan di semua universiti awam dan swasta kerana ia memberi asas kukuh kepada graduan untuk mengambil bahagian dalam kerja-kerja sukarela apabila mereka sudah bekerja.

Beliau berucap di majlis pentauliahan pegawai kadet Pertahanan Awam (SISPA) kampus UKM di sini hari ini. Seramai 455 orang kadet dari 22 institusi pengajian tinggi dari seluruh negara telah ditauliahkan dengan pangkat Leftenan Muda di upacara itu.

SISPA adalah sebuah badan beruniform terdiri dari sukarelawan siswa dan siswi yang dilatih untuk menolong mangsa bencana alam dan kemalangan. Mereka dilatih dalam pelbagai usaha menyelamat, memadam kebakaran dan memberi rawatan awal.

Zahid berkata beliau ingin melihat bilangan penyertaan dalam SISPA meningkat kepada 100 orang bagi setiap universiti awam dan sekurang-kurangnya 50 orang di setiap universiti swasta.

Kadet SISPA mendapat pentauliahan selepas tamat beberapa siri latihan yang merangkumi pelbagai aspek daripada mengenal pasti ancaman bom, bencana alam dan kemalangan.

Mereka adalah wira yang tidak didendang yang menyumbang tenaga di sebalik tabir untuk keselamatan orang ramai.

Mereka dikerahkan apabila berlaku bencana alam dan dilatih secara profesional untuk mengenal pasti dan menangani pelbagai ancaman keselamatan.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang juga komandan SISPA UKM berkata UKM telah menstruktur semula badan-badan berunifomnya dengan meletakkannya di bawah satu payung, iaitu Pusat Kesatria.

Ia bertujuan membolehkan tindakan yang lebih berkesan dan pantas setiap kali anggotanya diperlukan. Ia juga selaras dengan peranan UKM memenuhi hasrat penubuhannya sebagai pendaulat amanah bangsa untuk menyumbang kepakarannya terhadap pembangunan masyarakat.

Ketua Pengarah Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, Dato’ Zaitun Abd Samad, pegawai kanan Kementerian Dalam Negeri, pelajar serta wakil-wakil institusi pengajian tinggi telah hadir di upacara itu.