Cerita Pengalaman Istimewa Dua Orang Angkasawan

UMAAT, 24 OKTOBER 2014 12:17

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 21 Oktober 2014 – Tiada halangan bagi seorang wanita untuk menjadi seorang angkasawan, demikian menurut Dr Chiaki Mukai, angkasawan wanita Jepun yang pertama.

Beliau yang juga Pengarah Pusat Perubatan Gunaan Angkasa dan Penyelidikan Manusia di Agensi Penerokaan Angkasa Jepun (JAXA), berkata beliau tidak merasakan apa-apa perbedaan sebagai seorang wanita untuk menjadi seorang angkasawan.

Dr Mukai telah berkongsi pengalamannya dengan para penyelidik Malaysia dalam suatu program ‘UKM di Angkasa’ di sini hari ini. Beliau telah mencipta rekod dengan mencatat waktu paling lama berada di angkasa, iaitu selama 566 jam.

Program itu dianjurkan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk memperingati ulang tahun ketujuh perjalanan Malaysia ke angkasa.

Turut hadir Datuk Dr Sheikh Muszaphar Shukor Sheikh Mustapha, satu-satunya sahaja angkasawan Malaysia. Beliau adalah seorang doktor perubatan dan Felo Utama di Institut Sains Angkasa (ANGKASA) UKM.

Dr Mukai, yang menerima anugerah Kepujian Perdana Menteri untuk Sumbangan kepada ‘Kesetaraan Jantina’ di antara banyak anugerah lain yang di terimanya. Beliau mahu wanita di seluruh dunia berusaha mengatasi pandangan jantina sebagai penghalang. Katanya apa pun yang seseorang impikan dia boleh melakukannya.

Walaupun ramai kanak-kanak sekolah bermimpi mahu menjadi angkasawan, lain pula dengan Dr Mukai, seorang pakar bedah jantung.

Membesar di sebuah kampung kecil tidak memberinya peluang untuk didedahkan kepada sains angkasa, apatah lagi berpengalaman “amat istimewa” menjadi seorang angkasawan.

Ketika berusia 32 tahun Dr Mukai telah membaca berita mengenai pengambilan rakyat Jepun untuk kumpulan pertama angkasawannya.

Walaupun beliau telah menjadi seorang pakar bedah yang cekap hingga telah menerbitkan 60 buah kertas sains, Dr Mukai ketika itu menganggap bahawa hanya seorang juruterbang yang tegap dan gagah sahaja layak menjadi seorang angkasawan.

Namun, Dr Mukai amat berminat untuk mencatat sejarah dan selepas bertahun-tahun menunggu dan berlatih, telah diberi peluang untuk terbang ke angkasa lepas, malah sebanyak dua kali.

“Berada di angkasa lepas adalah perkara yang paling indah yang saya alami dan walaupun andaian bahawa wanita tidak cukup gagah untuk bertahan latihan fizikal dan mental yang amat mencabar, seramai 54 orang wanita telah berbuat demikian,” katanya dengan penuh bangga.

“Saya mendapat tahu mengenai program penerokaan angkasa lepas ketika saya berusia 17 tahun dan media heboh dengan berita mengenai angkasawan Neil Armstrong dan Buzz Aldrin mendarat kapal angkasa mereka di bulan.

“Saya sungguh kagum dan tidak terlintas menjadi seorang angkasawan kerana perkara luar biasa demikian hanya boleh berlaku di negara-negara besar. Jepun pada masa itu belum pun mempunyai program angkasa lepas,” tambahnya.

Dr Sheikh Muszaphar pula berkata, beliau telah melakukan kajian ke atas bakteria yang berkaitan dengan barah hati, sel-sel leukemia dan mikrob. Semuanya adalah bertujuan untuk memajukan ilmu pengetahuan dan penyelidikan perubatan.

Walaupun tujuh tahun telah berlalu sejak beliau membuat perjalanan ke angkasa lepas pengalaman berada di ISS masih terasa.

Pakar bedah ortopedik itu bermimpi untuk menjadi seorang angkasawan sejak berusia 10 tahun dan telah mengambil masa selama 25 tahun untuk merealisasikan cita-citanya. Beliau amat bersyukur diberi peluang tersebut.