Jaringan Dan Perkongsian Penting Untuk Menggerakkan R&D Ke Pasaran

SELASA, 21 OKTOBER 2014 11:13

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

BANGI, 15 Oktober 2014 – Jaringan dan perkongsian adalah dua strategi penting bagi menggerakkan penyelidikan dan pembangunan teknologi ke pasaran.

Ketua Pengarah Pengajian Tinggi, Profesor Datuk Dr Asma Ismail berkata, ia menjadi lebih relevan apabila produk yang dibangunkan amat diperlukan oleh masyarakat.

Prof Asma berkata demikian ketika berucap di majlis makan malam sekali gus merasmikan bengkel Kerjasama Serantau dalam Pemindahan Teknologi dan Pengkomersilan (R&D) Malaysia-CLMV (Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam) di sini hari ini.

Bengkel itu dianjurkan bersama oleh Pusat Inovasi Kolaboratif  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-PIK) dan negara-negara terbabit.

Turut hadir pada majlis itu ialah para duta Kemboja, Laos, Myanmar dan Vietnam di sini serta peserta bengkel.

Prof Asma berharap bengkel tiga hari itu akan membincangkan potensi kerjasama universiti-industri dan merentas sempadan keusahawanan pembangunan bio-perniagaan, terutama dalam aspek pemindahan dan pengkomersilan teknologi (TTC) yang dibangunkan oleh penyelidik di kelima-lima negara itu.

Beliau berkata negara-negara CLMV berminat dalam bidang bioteknologi, sains hayat, vaksin haiwan dan kultur tisu tumbuhan.

Di antara perkara yang dibincang dalam bengkel itu termasuk amalan terbaik dari TTC yang akan dilaksanakan oleh akademi dan industri dan juga bagaimana badan-badan swasta dan kerajaan boleh meningkatkan ekosistem TTC sokongan dari segi sumber dan infrastruktur.

Malaysia sebagai sebuah negara yang penting dalam ASEAN, akan terus mengeratkan hubungan dengan negara anggota lain, katanya.

Peserta juga diberi peluang untuk memaparkan maklumat produk mereka serta menggerakkan kerjasama dan perkongsian semasa sesi pemadanan perniagaan atau rangkaian.

Mereka akan melawat syarikat yang berjaya terlibat dengan bio-perniagaan bagi melengkapkan perbincangan teknikal dan akademik di bengkel itu.

Antaranya adalah syarikat-syarikat yang terlibat dalam penyelidikan pertanian, ternakan, vaksin/diagnostik dan kultur tisu tumbuhan.