Majlis Santapan Untuk PALAPES UKM

ISNIN, 27 OKTOBER 2014 15:51

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 25 Oktober 2014 – Seramai 124 orang Pegawai PALAPES (Pasukan Latihan Pegawai Simpanan) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di seru meneruskan usaha gigih untuk mempertahankan ibu pertiwi sambil berjasa kepada negara dan bangsa.

Bertitah di majlis santapan Malam Rejimental di sini hari ini, Yang Di Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir yang juga Canselor UKM mengucapkan tahniah kepada semua pegawai PALAPES kerana berjaya menyerlah dalam beberapa bidang ketenteraan sepanjang tahun ini.

Majlis itu adalah sempena pentauliahan pegawai muda PALAPES UKM siri 33 yang mana mereka telah menerima pentauliahan daripada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di sebelah pagi tadi.

Turut berangkat ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus Tuanku Aishah Rohani Binti Almarhum Tengku Besar Mahmud yang juga Canselor USIM.

Tuanku Muhriz memperingatkan pegawai-pegawai muda yang menerima watikah Satriajaya supaya sentiasa mengenangkan budi universiti apabila sudah berkhidmat dalam pelbagai bidang nanti.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang juga Kolonel Kehormat sebagai Komandan Palapes UKM berbangga dengan PALAPES UKM menjuarai Perbarisan di Istiadat Pentauliahan Di Raja Pegawai Palapes Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) buat kali keduanya.

Beliau berkata kiranya Palapes UKM berjaya mempertahankan kejuaraan tersebut buat kali ketiga ia akan dapat menyimpan perisai itu buat selama-lamanya.

Leftenan Muda Mohd Kashful Annuar Minhat dan Leftenan Muda Mohamad Izzat Mohamad Zafri diisytiharkan sebagai pegawai kadet terbaik PALAPES UKM bagi siri 33 itu.

PALAPES adalah satu program kerjasama di antara Kementerian Pertahanan Malaysia dengan Kementerian Pendidikan untuk mahasiswa-mahasiswi di Institutsi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).

Seorang pegawai kadet akan menerima latihan pada setiap hujung minggu secara sambilan selama 3 tahun meliputi subjek berkaitan ketenteraan.

Selain daripada itu, latihan lanjutan dan latihan intensif juga akan diadakan setahun sekali secara sepenuh masa selama tiga minggu.

Program PALAPES kini merangkumi setiap cabang perkhidmatan dalam ATM iaitu PALAPES Tentera Darat, Tentera Udara dan Tentera Laut. Setiap pasukan PALAPES mempunyai Markas Latihan cawangan masing-masing. PALAPES hingga kini telah ditubuhkan di 12 buah IPTA.