Pendidikan Lebih Menyeluruh Perlu Untuk Atasi Kebocoran Kertas Peperiksaan

SELASA, 07 OKTOBER 2014 16:31

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 3 Oktober 2014 – Sistem pendidikan yang terlalu cenderong kepada peperiksaan akhir harus diubah kepada kaedah penilaian yang lebih menyeluruh dan tidak terlalu bergantung kepada pencapaian akademik.

Para peserta dalam panel Bicara Persada bertajuk Kebocoran Soalan UPSR: Manifestasi Apa Sebenarnya? di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini bersetju bahawa peperiksaan seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) hanya menunjukkan kesediaan murid-murid untuk mengambil ujian itu tanpa mengambil kira nilai-nilai lain.

Mereka mencadangkan kaedah pendidikan sekolah yang lebih menyeluruh supaya ibu bapa, guru serta murid sedar bahawa penipuan itu akan menjejaskan masa depan kanak-kanak terbabit.

Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Mohd Ali Hasan berkata suatu sistem pendidikan sepanjang hayat perlu diwujudkan agar tidak terlalu tertumpu kepada pencapaian akademik bagi mengelakkan insiden kebocoran kertas peperiksaan seperti untuk peperiksaan UPSR baru-baru ini berulang.

Dr Mohd Ali berkata keutuhan dan integriti perlu diterapkan pada semua peringkat dari awal lagi.

Sistem pendidikan UPSR sekarang terlalu ditumpukan kepada pencapaian peperiksaan akhir tahun dan ini telah memberi tekanan kepada ibu bapa dan guru-guru hinggakan mereka sanggup berbuat apa sahaja supaya murid-murid kelihatan berjaya.

Beliau mencadangkan hanya 60% daripada penilaian dalam UPSR didasarkan kepada peperiksaan akhir tahun, manakala 40% lagi ditentukan dalam ujian dan aktiviti di sekolah.

Sistem pendidikan yang terlalu ditumpukan kepada usaha memperolehi sebanyak mungkin gred ‘A’ dalam peperiksaan telah menyebabkan pembangunan dalam aspek pendidikan menyeluruh tidak dapat dilakukan dengan setimpal hingga membawa kepada unsur rasuah dan tamak haloba dalam pembangunan sosial negara.

Dengan itu sistem penilaian peperiksaan perlu ditransformasikan supaya tidak tertumpu kepada bidang akademik sahaja tetapi bidang-bidang lain seperti kokurikulum, sukan dan kepimpinan juga diberi perhatian sewajarnya.

Pengerusi Biro Integriti Majlis Perundingan Melayu, Tan Sri Mohd Zaman Khan; Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Shaman Jaes dan Pensyarah Fakulti Pendidikan UKM, Dr. Mohamed Yusoff Mohd. Nor turut mengambil bahagian dalam perbincangan itu.

Dr Mohamed Yusoff berkata, peperiksaan UPSR perlu diberi nilai tambah supaya murid tidak terlalu didedahkan dengan budaya mengejar untuk mencapai gred ‘A’ dalam semua kertas peperiksaan yang mereka ambil.

“Negara kita seharusnya mempunyai suatu sistem pendidikan yang membolehkan guru-guru mengukur perkembangan, potensi dan pencapaian sebenar murid-murid mereka supaya tidak terlalu berorientasikan kepada peperiksaan,” katanya.

Dr Mohamed Yusoff bagaimanapun yakin sistem peperiksaan sedia ada sudah baik cuma ia perlu ditambah baik dengan meningkatkan integriti dalam penyediaan dan pengurusan kertas soalan serta semua yang mengendalikan peperiksaan itu.

Tan Sri Zaman pula menegaskan bahawa budaya integriti perlu disemai dalam sistem pendidikan untuk memastikan perkara kebocoran soalan UPSR tidak berulang.

“Jika tiada budaya integriti maka mereka akan mudah melakukan perkara yang bertentangan dengan undang-undang,” katanya.

Bicara Persada siri ke-8 itu dikendalikan Nazri Kahar dari saluran televisyen Astro Awani. Ia turut disaksikan oleh Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan para Timbalan Naib Canselor.