Penguraian Mengenai Seorang Aktivis Masyarakat

JUMAAT, 31 OKTOBER 2014 08:23

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 27 Oktober 2014 – Kedudukan sosio-ekonomi yang mengalami perubahan ketara dengan wujudnya pelbagai media sosial di internet perlu diberikan tumpuan.

Aktivis hak asasi manusia dan ahli akademik Datuk Dr Denison Jayasooria berkata, keadaan demikian itu juga telah membawa kepada perubahan landskap politik dalam negara.

Datuk Dr Denison, Felo Utama di Institut Kajian Etnik (KITA)  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berkata perubahan keadaan itu jelas kelihatan terutama selepas pilihan raya umum ke-12 dan lebih-lebih lagi selepas pilihan raya umum yang lalu.

Beliau memberikan pandangannya itu pada Perbincangan Meja Bulat mengenai bukunya bertajuk Faith and Society or Faith in Society: Our Future Challenge (Iman dan Masyarakat atau Iman dalam Masyarakat: Cabaran Masa Depan Kita).

“Cabaran sekarang bukan lagi mengenai etnik atau kedudukan berasaskan kaum. Kita sekarang berada di jurang antara generasi, jurang antara bandar dan luar bandar dan sebagainya,” katanya.

Naib Canselor Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, Prof Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Prof Madya Dr Madeline Berma dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan dan Prof K S Nathan dari KITA turut mengambil bahagian dalam perbincangan meja bulat yang dianjurkan KITA itu.

Rakan-rakannya serta ahli akademik dari UKM bersetuju bahawa Datuk Denison gigih memperjuangkan hak orang miskin dan yang serba kekurangan.

Datuk Dr Denison, 60 tahun, menyifatkan bukunya itu sebagai perjalanan hidup dan pemikirannya mengenai bagaimana iman dan masyarakat menjadi iman dalam masyarakat.

Dilahir dan dibesarkan di Banting, Selangor dalam keluarga Kristian Methodist, beliau menjadi seorang paderi. Datuk Dr Denison kemudiannya giat sebagai aktivis bukan kerajaan melalui Yayasan Strategik Sosial MIC (YSS) untuk membantu golongan miskin – pertama, orang-orang India dan kemudiannya anggota masyarakat lain.

Pada tahun 2008 beliau menyertai UKM sebagai felo utama KITA dan sejak itu beliau telah menganjurkan 66 perbincangan meja bulat mengenai perpaduan nasional dan pembangunan merangkumi semua rakyat.

Prof Noor Azlan berkata Datuk Denison telah menyenaraikan sembilan cabaran dalam bukunya, yang mengaitkan status sosial dengan kemiskinan dan kekurangan.

Naib Canselor memuji Datuk Denison kerana telah banyak berjasa kepada masyarakat.

Pengarah KITA Prof Shamsul Amri berkata tajuk buku tersebut adalah menarik kerana ia membayangkan keyakinan Datuk Denison bahawa isu-isu agama dan bangsa akhirnya akan dapat diselesaikan dengan baik.

Dr Madeline kagum dengan kecekapan Datuk Denison menangani kezaliman melalui sesi dialog dan persidangan dan bukannya secara berdemonstrasi jalanan.

Beliau menggunakan media arus perdana untuk berhujah mengenai isu-isu semasa serta menganggapnya sebagai pejuang rakyat akar umbi.

Dr Madeline juga menyeru ahli akademik tidak mengabaikan persoalan kemanusiaan dan pengajian sains sosial.

Prof Nathan pula tidak hairan dengan kedudukan Datuk Denison yang telah berjaya melakukan peralihan dari NGO kepada ahli akademik di KITA yang dapat memberikan pengalaman pembelajaran yang hidup.

Ia menjadi asas kepada penyelidikan lanjut Datuk Denison mengenai kemiskinan berdasarkan keperluan dan bukannya kaum.

Perbincangan itu dipengerusikan oleh felo utama penyelidikan di KITA, Anis Yusal Yusoff.