UKM Bantu Program Perlindungan Kanak-Kanak

SELASA, 14 OKTOBER 2014 12:42

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 8 Oktober 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) akan menyediakan kepakaran untuk membantu Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mencegah penderaan terhadap kanak-kanak serta menangani masalah yang mereka hadapi.

Satu Memorandum Persefahaman (MoU) telah ditandatangani di sini hari ini bagi perkongsian pintar termasuk membentuk modul untuk perlindungan kanak-kanak serta menganjurkan bengkel dan seminar bagi kakitangan JKM manakala jabatan itu akan membantu mengumpul data kes-kes demikian untuk penyelidik UKM.

Naib Canselor UKM Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali menandatangani MoU itu bersama Ketua Pengarah JKM Datuk Norani Mohd Hashim.

Dekan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Prof Dr Hazita Azman menyaksikannya bagi UKM manakala JKM diwakili Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JKM Hj Zulkiply Ramly. Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Sri Rohani Abdul Karim turut hadir pada majlis itu.

MoU itu akan berkuatkuasa selama tiga tahun dengan kedua pihak UKM dan JKM berkongsi sumber masing-masing. Umpamanya JKM boleh memanfaatkan kemudahan-kemudahan di Unit Khidmat Psikologi dan Kaunseling, makmal perkembangan kanak-kanak dan makmal pengurusan stress di UKM.

Sebelum itu, Datuk Sri Rohani dalam ucapannya menutup Seminar Perlindungan Kanak-Kanak Peringkat Kebangsaan tahun 2014 yang dianjurkan bersama oleh UKM dan JKM. Beliau berkata bahawa Pelan Tindakan Perlindungan Kanak-Kanak Dalam Talian akan digubal tahun ini untuk mengawal penggunaan peranti digital dan akses internet di kalangan kanak-kanak.

Akta Kanak-Kanak 2001 mungkin dipinda kerana  didapati 70% daripada peruntukan dan fasalnya perlu dikemaskini untuk menangani pelbagai fenomena berbahaya dalam talian yang menyasarkan kanak-kanak di bawah 18.

“Selain buli siber, ‘trolling’ dan bahan lucah, kami perhatikan bahawa gejala baru yang amat membimbangkan seperti menggalakkan anak-anak lari dari rumah, mendera diri dan juga membunuh diri telah muncul,” kata Datuk Sri Rohani.

Beliau berkata pindaan akta akan mewajibkan ibu bapa atau penjaga memantau tabiat internet anak mereka serta memasang perisian dan peranti untuk menyekat mereka menjadi mangsa siber.

Beliau menggesa ibu bapa berhati-hati terhadap apa yang anak-anak mereka lakukan secara bersendirian. Mereka perlu lebih pro-aktif dan mengambil langkah-langkah pencegahan seperti memasang televisyen litar tertutup di dalam bilik mereka.

Beliau berkata pelbagai jabatan, termasuk universiti dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berunding untuk mengkaji semula rang undang-undang sedia ada.

Bermula tahun depan, satu perisian keselamatan akan diperkenalkan supaya ibu bapa boleh memasang di komputer atau peranti mudah alih anak-anak mereka bagi mengawal tabiat siber.

Sebanyak 11 resolusi seminar itu telah diserahkan kepada JKM dan UKM mengenai penguatkuasaan undang-undang perlindungan kanak-kanak yang lebih ketat baik di bandar atau luar bandar.

Selain dari pemantauan dan kawalan penggunaan peranti digital dan akses internet, resolusi lain termasuk peningkatan pelaksanaan dasar-dasar mengenai hak kanak-kanak melalui sokongan media massa, meningkatkan sistem sokongan sosial kanak-kanak dan program pendidikan tidak formal yang menekankan interaksi sosial.