Universiti Penyelidikan Dipuji Kerana Meningkatkan Hasil Melalui R&D

SELASA, 07 OKTOBER 2014 08:56

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

SKUDAI, JOHOR, 2 Oktober 2014 – Lima universiti penyelidikan negara berjaya menjana pendapatan sebanyak RM3.6 billion menerusi penyelidikan dan pembangunan (R&D) antara tahun 2007 dan 2013.

Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata pendapatan tersebut diperolehi menerusi  pengkomersilan produk penyelidikan bernilai RM1.25 billion dan pembangunan yang tertumpu pada 12 Bidang keberhasilan Utama Negara (NKRA) menyumbang sebanyak RM205.14 juta.

Idris berkata demikian ketika sidang akhbar selepas merasmikan pameran yang memaparkan kejayaan universiti-universiti penyelidikan bertajuk  ‘Kejayaan   Universiti Penyelidikan Siri 4 : Pengkomersilan Penjanaan Kekayaan Melalui R&D ’  di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini hari ini. Universiti kebangsaan Malaysia (UKM) turut menyertai pameran ini sebagai salah satu universiti penyelidikan.

Menurut beliau, sejak tahun 2007 sehingga tahun lepas, kerajaan telah meluluskan peruntukan antara RM50 juta dan RM90.8 juta setahun di bawah peruntukan mengurus kepada setiap universiti penyelidikan membabitkan RM2.363 bilion.

Dalam tempoh tersebut, sebanyak 1,650 harta intelek berjaya dihasilkan menerusi aktiviti penyelidikan dan pembangunan yang mana sehingga 2012 sebanyak RM48.7 juta berjaya diperoleh menerusi pengkomersilan harta intelek dan lesen.

Jumlah berkenaan dijangka meningkat kepada RM122 juta menjelang 2020.

Idris berkata, sebanyak 77 syarikat hiliran ditubuhkan bagi membolehkan inovasi yang dihasilkan oleh penyelidik universiti dipasarkan.

“Peningkatan aktiviti penyelidikan dan pembangunan dalam kalangan universiti penyelidikan dijangka meningkatkan lagi penubuhan syarikat hiliran kepada 80 buah setahun pada 2020,” katanya.

Dalam tempoh yang sama, sebanyak 182,720 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan.

Pameran dua hari itu memaparkan kejayaan universiti penyelidikan dan adalah yang keempat  dalam siri lima acara. Pameran ini memberi tumpuan kepada tugas Penciptaan dan Pengkomersilan yang telah diamanahkan kepada UTM.

Bagi acara Kejayaan Media RU setiap universiti penyelidikan diberi tanggungjawab untuk mempromosikan sains dan inovasi supaya dapat membantu negara mencapai status negara maju menjelang tahun 2020.

UKM diberi tanggungjawab untuk mempamerkan kesan ekonomi dan sosial serta akan menjadi tuan rumah pameran pada bulan November.

Empat universiti termasuk UKM telah dianugerahkan status Universiti Penyelidikan pada tahun 2007 di bawah Rancangan Malaysia ke-9 manakala UTM mendapat status itu pada tahun 2010 di bawah Rancangan Malaysia ke-10.

Kelima lima institusi itu sedang meningkatkan tumpuan kepada pengajian siswazah, terutamanya di peringkat PhD sebagai pemangkin kepada penyelidikan dan pembangunan.