Dana Yayasan Sime Darby Untuk UKM Menjalankan Kajian Kepelbagaian Pelajar

ISNIN, 29 SEPTEMBER 2014 12:25

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KAJANG, SELANGOR, 17 September 2014 – Yayasan Sime Darby (YSD) mungkin memperuntukkan geran penyelidikan kepada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) untuk menjalankan kajian mengenai Kepelbagaian Pelajar, suatu bidang pengajaran kanak-kanak yang memerlukan pembelajaran khas.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Hajah Yatela Zainal Abidin berkata YSD berhasrat membiayai penyelidikan Kepelbagaian Pelajar kerana mahu membantu kanak-kanak yang kurang bernasib walaupun ia adalah suatu bidang baru baginya.

Beliau telah menyampaikan ucaptama pada perasmian Persidangan Antarabangsa Kepelbagaian Pelajar (ICELD) 2014 anjuran Fakulti Pendidikan UKM di sini hari ini. YSD, katanya, telah pun membantu beberapa program UKM.

Antaranya membiayai program sifar sisa UKM melalui pembiayaan RM15 juta bagi Kursi UKM-YSD untuk pembangunan Lestari dan Kursi UKM-YSD untuk Perubahan Iklim bernilai RM5 juta.

Yatela berkata YSD juga telah memberi biasiswa kepada tiga orang pelajar dari China, empat dari Liberia dan ramai lagi dari Indonesia yang sedang belajar di UKM.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Prof Dato’ Dr Mazlin Mokhtar ketika merasmikan persidangan itu telah memohon mendapatkan geran untuk tujuan itu kerana UKM adalah satu-satunya universiti masa kini yang melakukan kajian mengenai kepelbagaian pelajar.

“Mengapa tidak menyediakan satu atau dua juta atau mungkin hanya RM500,000 untuk kepelbagaian pelajar supaya UKM  boleh menyelidik secara mendalam keperluan untuk pelajar khas demikian,” katanya.

Prof Mazlin juga memohon dana tambahan sebanyak RM1 juta untuk menubuhkan sebuah pusat khas pembelajaran bagi membantu sekumpulan pelajar terpinggir pada tahun-tahun awal pembelajaran mereka.

Pusat kepelbagaian pelajar itu, katanya, boleh ditubuhkan untuk menjadi pusat data sehenti mengenai pelajar demikian untuk mendapatkan pendidikan setimpal serta memenuhi keperluan penyelidik.

Beliau berkata penyelidikan kepelbagaian pelajar bukanlah untuk penyelidikan semata-mata walaupun penyelidikan terhadap mereka harus diberi perhatian kerana Malaysia komited mahu menjadi masyarakat rangkuman di mana tiada siapa pun akan ketinggalan.

Fakulti Pendidikan UKM kini sedang mengkaji pelajar lembap, mereka yang mengalami autisme dan juga yang kurang upaya.

Turut hadir pada persidangan itu ialah Pengerusi persidangan Prof Madya Dr Manisah Mohd Ali dan Dekan Fakulti Pendidikan Dr Lilia Halim.

ICELD 2014 adalah yang keempat dalam siri persidangan kepelbagaian pelajar yang menjadi platform untuk membincangkan isu-isu kritikal berkaitan pendidikan, tadbir urus dan teknologi.