Kesakitan Kronik Perlu Diuruskan Sendirian Oleh Pesakit

ISNIN, 22 SEPTEMBER 2014 17:01

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi

KUALA LUMPUR, 15 September 2014 – Cara terbaik untuk menangani masalah kesakitan kronik yang melanda 7% daripada pesakit di Malaysia adalah dengan pesakit menguruskannya sendiri.

Usaha demikian itu adalah lebih baik daripada melakukan pembedahan atau menelan ubat penghilang sakit secara berterusan, demikian pandangan pakar-pakar kesihatan dan perubatan dalam suatu forum awam mengenai sakit kronik di sini hari ini. Ia dianjurkan oleh Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM).

Pakar-pakar yang mengambil bahagian dalam forum itu adalah Perunding Anestesiologi di Hospital Selayang Dr Mary Suma Cardosa, Pakar Perunding Anestesiologi di PPUKM Prof Dr Choy Yin Choy, Pakar Perunding Neurosugery di PPUKM Dr Toh Chang Jeng dan Prof Madya Normah Che Din dari Pusat Pengajian Sains Jagaan Kesihatan UKM.

Pengarah PPUKM dan Dekan Fakulti Perubatan Prof Dato’ Dr Raymond Azman Ali berkata pengurusan sakit kronik adalah salah satu strategi hospital dalam perubatan pencegahan. Pembedahan adalah pilihan terakhir.

Ketika merasmikan forum itu beliau berkata sekitar 70 orang awam kebanyakannya warga emas yang menghadapi sakit kronik juga telah mengambil bahagian dalam forum itu.

Prof Raymond dan pakar-pakar lain menasihatkan pesakit untuk mengikuti jadual senaman dan terapi yang boleh membantu meringankan kesakitan.

Dr Mary berkata tidak ada jaminan bahawa pembedahan akan menghentikan kesakitan secara kekal kerana ia boleh berulang. Pengambilan ubat penahan sakit pula akan hanya menjadikan pesakit ketagih kepada ubat. Itu pun ubat hanya berkesan untuk tempoh singkat sahaja dengan pesakit akan memerlukan lebih banyak pil.

Beliau berkata sakit kronik adalah kesakitan yang berlangsung selama lebih daripada tiga hingga enam bulan dan tidak berkaitan dengan barah. Tidak seperti sakit akibat kecederaan di mana ia semakin reda selepas rawatan dan penyembuhan, sakit kronik masih tetap dirasai walaupun tisu atau otot sudah sembuh.

Masalah lain termasuk sakit belakang dan sakit sendi (athritis dan neuropathic).

“Mungkin ada banyak punca kesakitan, tetapi sakit kronik bukan lagi berpunca daripada kerosakan tisu kerana ia sendiri menjadi penyakit,” katanya.

Dr Mary berkata semasa bertugas di Hospital Selayang beliau telah melihat banyak kes sakit kronik yang mana pesakit tidak menunjukkan apa-apa tanda penyakit ketika pemeriksaan menyeluruh termasuk imbasan Imej Magnetik Resonan (MRI) tetapi mereka tetap merasakan kesakitan yang berterusan.

Beliau mengesyorkan pesakit mengamalkan cara sendiri di rumah untuk membantu melegakan rasa sakit. Cara terbaik untuk menanganinya adalah dengan melakukan senaman yang ditetapkan doktor. Berehat sahaja atau tidur tidak akan melegakan kesakitan pesakit selagi dia berterusan memikirkan kesakitan.

Prof Choy dari PPUKM berkata sakit adalah salah satu sebab utama mengapa orang mendapatkan rawatan perubatan. Pengalaman di seluruh dunia menunjukkan bahawa kesakitan masih tidak dapat diuruskan dengan baik.

“Banyak halangan kepada pengurusan kesakitan telah dikenal pasti dan kegagalan penjaga kesihatan untuk menilai dan merakam sakit telah menjadi suatu halangan utama untuk melegakan kesakitan. Pengurusan kesakitan boleh diperbaiki dengan pendidikan dan penjagaan kesihatan yang baik,” katanya.

Jabatan Anestesiologi, Pusat Rawatan Rapi dan Persatuan Kajian Kesakitan telah berusaha secara bersama mempromosi kualiti hidup yang lebih baik dalam menguruskan kesakitan dengan meningkatkan pengetahuan dan

kemahiran pengurusan kesakitan akut dan kronik.

Beliau menggesa pesakit mengambil bahagian dalam sesi senaman dan bengkel di mana mereka dapat menimba pengalaman praktikal dan petua mengenai pengurusan kesakitan.

Dr Toh pula percaya teknik yang digunakan untuk merawat penghidap sakit kronik dengan rawatan lain berbaloi untuk mengurangkan kesan sampingan.

Bagaimanapun, tidak semua pembedahan boleh menyembuhkan sakit kronik kerana kebanyakan pemeriksaan adalah untuk tujuan diagnostik.

Beliau menyebut sakit kepala dan sakit belakang sebagai sakit kronik paling banyak yang beliau sendiri telah tangani. Walau bagaimanapun tidak semua sakit kepala berpunca dari kepala. Ia boleh disebabkan oleh leher, muka atau rahang. Dalam kes demikian, pembedahan boleh menyelesaian penyakit tetapi bukan mehilangkan kesakitan secara berkesan.

Beliau berkata seorang doktor tidak boleh menghapuskan sakit kronik 100% kerana sakit demikian bukan lagi suatu gejala tetapi sudah menjadi suatu penyakit, katanya.

Sebagai contoh ubat penahan sakit yang biasa disyorkan ialah Parasetamol, NSAIDS, Codeine dan Tramadol tetapi Dr Toh memberi amaran bahawa ia hanya memberikan kelegaan sementara.

Dr Normah dari Fakulti Sains Kesihatan menjelaskan bahawa pemikiran boleh menyebabkan sakit kronik. Seorang pesakit akan rasa tertekan dan ini boleh menyebabkan sakit kronik. Ia boleh berpanjangan yang mana penghidap menjadi bimbang mengenai kesakitan, tidur tidak nyenyak dan kesihatan merosot. Apabila terlalu bimbang, sakit semakin teruk dan seterusnya pesakit akan semakin cemas.

Ada juga keadaan di mana masalah mental psikosomatik atau emosi adalah punca kesakitan dan bukan penyakit fizikal. Dalam keadaan ini, lebih baik jika perawat menasihati pesakit mengubah sikap mereka dan berfikir dengan lebih positif.

Ini dinamakan psikoterapi dan agak berkesan jika pesakit mengamalkan pengurusan stres dan beristirahat secara berkala. Ini berlaku kerana ia mengurangkan aliran hormon dari otak yang menyebabkan stres atau kebimbangan.

Pakar Fisioterapi PPUKM Harjinder Singh Bains yakin fisioterapi boleh merawat sakit kerana tidak terdapat keseimbangan otot dan arthritis.

Harjinder berkata ramai pesakit yang baru menjalani pembedahan boleh pulih melalui fisioterapi kerana mereka tidak mempunyai cara lain untuk menjadi aktif secara fizikal.

Beliau menasihatkan orang ramai yang pulih dari pembedahan supaya cuba berjalan kaki perlahan-lahan secara langkah kecil dan beransur meningkatkan aktiviti sepanjang tempoh pemulihan selama beberapa bulan.

Peserta awam forum itu juga telah mengambil bahagian dalam demonstrasi senaman melegakan kesakitan dan mereka membuat temu janji dengan doktor untuk berunding mengenai masalah kesakitan yang mereka alami.