Ketua Audit Negara Memuji UKM Sediakan Sistem Perakaunan Dan Kewangan Sendiri

ISNIN, 08 SEPTEMBER 2014 09:16

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Abd Ra’ai Osman

BANGI, 3 September 2014 – Sektor awam khususnya institusi pengajian tinggi disaran mencontohi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang menggunakan kepakaran dalamannya untuk membentuk sistem kewangan dan perakaunan sendiri tanpa perlu bergantung kepada bantuan sektor swasta.

Ketua Audit Negara Tan Sri Dato’ Setia Ambrin Buang memuji  UKM kerana berjimat belanja dengan membangunkanUniversity Finance and Accounting System(UFASt) sendiri untuk mengendalikan tadbir urus kewangannya.

Beliau telah memberi ceramah bertajuk Isu-isu Pengauditan Sektor Awam/Badan Berkanun di sini hari ini sempena majlis pelancaran UFASt yang digunakan UKM sejak Januari tahun lalu.

UFASt dibangunkan hasil kerjasama berterusan antara Jabatan Bendahari dan Pusat Teknologi Maklumatnya yang berjaya dilaksanakan secara menyeluruh di UKM.

Tan Sri Ambrin berkata terdapat banyak jabatan kerajaan yang menggunakan dana awam tanpa hemah dan membazir. Hal ini yang perlu diteliti.

“Sering kali kita lihat jabatan-jabatan kerajaan menggunakan kepakaran luar seperti kontraktor, vendor dan perunding untuk melaksanakan projek. Yang baiknya bagi UKM ia melakukannya secara dalaman (in-house) tanpa perlu bergantung kepada perkhidmatan kepakaran luar.

“Malangnya terdapat perkhidmatan vendor yang lemah dan tidak memuaskan,” kata Tan Sri Ambrin.

UFASt kini sedang dinilai oleh Jabatan Audit Negara bagi pensijilan “Pematuhan Piawaian Perakuanan Untuk Agensi Kerajaan” (Standard Accounting for Government Agencies -SAGA).

Beliau memuji UKM kerana telah memperolehi Sijil Audit Bersih selama 13 tahun berturut-turut dalam penyediaan laporan kewangan tahunannya. Bagaimanapun beliau kesal kerana perkara begini tidak terdapat di sesetengah jabatan yang dilanda tiga kelemahan; pembaziran, pemborosan dan penyelewengan.

Penyelewengan, katanya, boleh membawa kepada perlakuan rasuah dan salah guna kuasa dalam pemberian kontrak dan pemerolehan. Apatah lagi jika pemberi kontrak bersekongkol dengan kontraktor dan perunding.

Katanya, Jabatan Audit Negara mendapati banyak projek kerajaan, seperti sekolah dan hospital, yang kerugian besar akibat kepincangan demikian. Di antara faktor yang dapat dikesan ialah peningkatan kos, tidak cukup peruntukkan dan hasil kerja yang tidak memuaskan.

“Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini penuh dengan pendedahan berlakunya pembaziran dan pemborosan. Saya khuatir kerana apa yang dilihat mungkin hanya sedikit sahaja dari perlakuan sebenar kerana mungkin wujud banyak lagi kes yang terlepas perhatian,” tambah beliau.

Umpamanya, Jabatan Audit Negara menyemak hanya 35 buah sekolah daripada sejumlah 10,000 buah sekolah di seluruh negara. Ia tidak mampu memantau semua sekolah sepanjang masa dan hanya memerhatikan sekolah yang terbuktik bermasalah.

Beliau menegaskan bahawa semua kakitangan awam wajib mempunyai budaya tanggungjawab ke atas aset kerajaan dan lebih berhemah memelihara semua harta milik kerajaan.

Kakitangan kerajaan, katanya perlu “membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul”. Ini bermakna kakitangan dan ketua jabatan perlu menyisihkan budaya lepas tangan atau tidak kisah disamping mengamalkan budaya kecemerlangan.”

Semua projek dan aset kerajaan berpunca dari wang rakyat dan orang ramai kini semakin lantang persoalkan perbelanjaan yang dibuat oleh sektor awam.

Kakitangan awam, katanya, bertanggungjawab untuk menyediakan perkhidmatan serta prasarana terbaik.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) Profesor Datin Nor Aziah Mohd Awal dan Bendahari UKM Dato’ Mohd Abd Rashid Mohd Fadzil turut hadir mendengar ceramah itu.