Kor Sukarelawan Polis UKM Terima Tauliah

RABU, 03 SEPTEMBER 2014 17:07

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 26 Ogos 2014 – Kadet Pasukan Kor Sukarelawan Polis (SUKSIS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), telah ditauliahkan dengan pangkat inspektor dalam suatu perbarisan tamat latihan kelmarin.

Mereka terdiri dari 57 orang pelajar termasuk 31 orang siswi dan telah mengambil bahagian dalam perbarisan itu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) kelmarin. Mereka kemudiannya dirai dalam suatu majlis jamuan makan malam di hotel Bangi–Putrajaya di sini hari ini.

Naib Canselor UKM Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali, yang juga Komanden SUKSIS telah menyampaikan sijil kepada mereka di majlis makan malam itu yang berlangsung bagi meraikan pencapaian mereka.

Prof Noor Azlan berbangga dengan pencapaian mereka dan berharap mereka akan terus mendukung tanggungjawab sebagai sebahagian daripada pasukan polis yang menegakkan undang-undang serta berkhidmat kepada rakyat sambil meneruskan pengajian di UKM.

Beliau mengingatkan mereka untuk tahu menilai kedudukan setelah bergelar graduan nanti serta kualiti yang ada pada diri sendiri supaya majikan mengetahui apa yang membedakan mereka dengan graduan lain.

Prof Noor Azlan juga mengingatkan siswa yang akan tamat pengajian bahawa mereka akan sentiasa menjadi sebahagian daripada UKM kerana sebagai alumni mereka selamanya mempunyai hubungan dengan UKM.

Beliau juga berharap mereka akan meneruskan hubungan itu dengan menyumbang dan berbakti kepada UKM.

Turut hadir pada majlis itu adalah pegawai-pegawai latihan polis yang menyelia mereka serta Timbalan Komanden Prof Dr Khaidzir Haji Ismail dan Haji Musa bin Zainal Abidin selaku Pegawai Latihan Luar.