Program Pelajar Mobiliti Dunia Di UKM

JUMAAT, 12 SEPTEMBER 2014 08:59

Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim
Foto Ikhwan Hashim dan Muhamad Ikhwan Zulhelmi (Pelajar Pelatih UiTM)

BANGI, 5 September 2014 – Program Pelajar Mobiliti Dunia di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSMP) berakhir hari ini dengan harapan ia telah memberi pengalaman kepada pelajar yang menyertainya untuk lebih menghargai kepelbagaian budaya dan aneka keadaan yang wujud di dalam dunia.

Seramai 53 orang pelajar telah mengambil bahagian dalam program yang ke-6 itu terdiri daripada pelajar-pelajar Mexico, Hong Kong, Korea, Filipina, Taiwan, Turki dan Jepun termasuk 12 orang pelajar UKM.

Sehingga kini seramai 265 pelajar antarabangsa dari 16 buah negara telah mengambil bahagian dalam program UKM-GSMP itu sejak dimulakan pada tahun 2009.

Tahun ini pelajar itu telah menghabiskan masa selama tiga minggu di Malaysia bermula pada 13 Ogos dengan diberi pilihan menyertai antara dua program; kursus Komuniti Orang Asli Malaysia (ICM) atau kursus Kelestarian Warisan Tropika (STH).

Penyelaras program ICM adalah Prof Dr Junaenah Sulehan manakala program STH diselaras oleh Prof Madya Dr Norhayati Ahamad.

Kumpulan STH telah melawat Geopark UKM di Langkawi dan Lembah Danum di Sabah manakala kumpulan ICM telah dibawa ke Perak untuk merasai pengalaman hidup bersama masyarakat Jahai di Hutan Diraja Belum, masyarakat Iban dan Bidayuh di rumah panjang di Sarawak.

Berucap pada majlis penutup program itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) Prof Ir Dr Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat berharap mereka telah menghayati pengalaman hidup semasa melawat makmal dan tapak penyelidikan UKM serta kehidupan kumpulan orang asli di Malaysia.

Beliau berterima kasih dengan semua yang terlibat; pensyarah, kakitangan dan pelajar UKM yang bertugas untuk menjayakan program itu serta Pusat Perhubungan Antarabangsa (PHA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Fakulti Sains dan Kemanusiaan (FSSK), Institut Kajian Etnik (KITA), Pusat Kesihatan UKM (PK) dan Kolej Kediaman Dato Onn di mana peserta itu telah menginap.

Prof Riza Atiq berharap mereka telah dapat memahami dan menghargai kepelbagaian biologi dan persekitaran di dunia serta aneka budaya yang wujud dengan harapan mereka akan dapat memberi sumbangan menjadikan dunia tempat yang lebih baik bagi manusia untuk hidup dalam keadaan berharmoni antara satu sama lain dan dengan alam semulajadi.

Beliau berkata bagi 12 orang pelajar UKM pula, mereka dapat bergaul dengan kaum dari pelbagai negara dan dengan itu mereka perlu terus membangunkan diri sebagai warga global beridentiti Asia serta bersemangat juang yang tinggi.

Duta Besar Mexico di Malaysia Carlos Isauro Felix Corona telah hadir di upacara itu bersama Pengarah PHA Prof Dr Imran Ho Abdullah.

Cik Myra Ithzel bagi pihak pelajar luar telah menghuraikan pengalaman mereka. Beliau berkata: “kami bermula sebagai pelajar yang saling tidak mengenali diletakkan bersama dalam satu perjalanan di Malaysia. Kami kemudian mengakhirinya sebagai suatu keluarga. Saya telah banyak belajar semasa saya di sini. Di Langkawi kita berpeluang melihat dan menghayati landskap yang indah di Taman Geopark.

“Saya percaya semua rakan yang melalui pengalaman ini telah belajar untuk menghargai gaya hidup yang ada dan tidak merungut mengenai hal-hal yang remeh, kerana kita telah melihat ada yang hidup hanya dengan keperluan asas tetapi mereka tetap gembira. Setiap perjalanan dan tempat kami pergi adalah satu pengembaraan yang luar biasa,” katanya.

Pelajar-pelajar itu kemudian telah menghiburkan hadirin dengan memperlihatkan bakat mempersembahkan beberapa tarian tradisional Melayu dan tarian Macarena serta beberapa lagu Sepanyol.