Sambutan Menggalakkan Bagi Program Sarjana Pengajian Rasuah

RABU, 10 SEPTEMBER 2014 16:21

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Ikhwan Hashim

BANGI, 9 September 2014 – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan komitmen mereka untuk bekerjasama melahirkan graduan yang pakar dalam tugas membanteras rasuah.

Suatu Memorandum Perjanjian (MoA) telah ditandatangani di sini hari ini antara UKM dan SPRM bagi membolehkan kakitangan SPRM mengikuti kursus Sarjana Pengajian Rasuah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Ia ditandatangani oleh Naib Canselor Profesor Datuk Dr Noor Azlan Ghazali dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Abu Kassim Mohamed.

Dekan FSSK Prof Dr Hazita Azman dan Pengarah Akademi Perancangan Rasuah Malaysia Dato’ Abdul Wahab Abdul Aziz menandatangani sebagai saksi perjanjian itu.

Program ini, yang mula diperkenalkan pada tahun 2008, buat julung kalinya ditawarkan kepada pegawai penguatkuasa dari luar negara bagi pengambilan untuk sesi pengajian 2014/2015 sekarang. Seramai 21 orang kakitangan SPRM dan seorang dari Biro Mencegah Rasuah (BMR) Brunei Darussalam menyertai program ini.

Prof Noor Azlan berkata inilah kali ketiga sejak 2009 kerjasama antara UKM dan SPRM diperbaharui membuktikan FSSK UKM mempunyai kepakaran yang diperlukan.

Beliau berkata setakat ini UKM adalah institusi tunggal yang menawarkan kursus sedemikian. Program peringkat sarjana itu terus mendapat kepercayaan beberapa badan penguatkuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Tan Sri Abu Kassim berkata sejak 2009 seramai 48 pegawai penguatkuasanya telah berjaya mendapat ijazah sarjana di bawah program itu.

Beliau berharap UKM dapat mengendalikan kursus demikian dalam bahasa Inggeris untuk menampung permintaan dari negara-negara ASEAN lain yang inginkan kakitangan mereka mendapat latihan yang sama.

Program itu memperlihatkan kelainan kerana penuntut Program Sarjana Sains Sosial Pengajian Rasuah itu berpeluang mengikuti Program Pegawai Integriti Bertauliah (CeIO) – program yang diperkenalkan oleh SPRM bagi melahirkan pegawai integriti untuk mengurus semua aspek yang berkaitan dengan integriti.

Abu Kassim berkata sambutan daripada agensi-agensi penguatkuasa amat menggalakkan dan ia menerima lebih daripada 30 permohonan kali ini. Seramai 21 orang pegawai menerima tawaran terdiri dari lima orang pegawai SPRM, sembilan dari PDRM, Kementerian Pertahanan (dua), Jabatan Kastam (dua) dan masing-masing seorang dari DBKL, Jabatan Audit dan Brunei.