Senamrobik Memulakan Hari Kedua Minggu Mesra Pelajar Baru UKM

KHAMIS, 04 SEPTEMBER 2014 18:17
Oleh Nurul Haziqah Abdul Halim

Foto Shahiddan Saidi, Izwan Azman, Muhamad Ikhwan
Zulhelmi dan Nur Farhana Othman (Pelajar Latihan Industri dari UiTM)

BANGI, 2 September 2014 – Senamrobik dan persembahan oleh Unit Beruniform memulakan hari kedua minggu orentasi pelajar-pelajar baru Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) di sini hari ini.

Seramai kira-kira 4,000 orang pelajar yang selesai mendaftar semalam telah mengambil bahagian sebagai sebahagian daripada acara orientasi mereka.

Berpakaian t-shirt kolej kediaman masing-masing mereka telah mengambil bahagian dalam senamrobik itu yang turut disertai Naib Canselor, Prof Datuk Dr Noor Azlan Ghazali yang sempat hadir ke padang ragbi UKM selama 10 minit sebelum beredar untuk menghadiri mesyuarat.

Pelajar-pelajar itu dibahagi kepada tiga kumpulan mengikut kolej kediaman masing-masing berkumpul di tiga lokasi di padang Ragbi, kawasan berhampiran tasik di hadapan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) dan di Dataran Gemilang.

Beberapa anggota pengurusan UKM dan pensyarah telah turut mengambil bahagian termasuk Timbalan-timbalan Naib Canselor Prof Ir Dr Riza Atiq OK Rahmat Abdullah (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa) dan Prof Datin Noor Aziah Mohd Awal (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) serta semua Pengetua kolej kediaman.

Unit berunifom UKM terdiri dari Pasukan Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (SUKSIS), Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) dan Pertahanan Awam Negara (SISPA) turut membuat persembahan di ketiga-tiga lokasi itu.

Persembahan mereka adalah bertujuan untuk menarik minat pelajar baru menyertai unit-unit itu.

Mereka kemudian di bawa ke beberapa lokasi untuk memperkenalkan mereka kepada bangunan-bangunan penting dalam kampus UKM.