Majlis Ikrar Pelajar Baru ASASIpintar

Print PDF

Majlis Ikrar Pelajar Baru ASASIpintar SESI 2012/2013

Bangi, 18 Mei - Pusat PERMATApintar Negara akan mengadakan Majils Ikrar Pelajar Baru bagi pengambilan sulung Program ASASIpintar sesi 2012/2013 seramai 100 orang.

Majlis ini akan diadakan pada 24 Mei 2012 (Khamis) bermula jam 2.00 petang bertempat di Dewan Serbaguna Pusat PERMATApintar Negara, Universiti Kebangsaan Malaysia.

ASASIpintar merupakan program pra-universiti yang mengambil masa selama setahun. Program ini akan dikendalikan di UKM dengan menggunakan tenaga pengajar pakar di UKM sendiri dan bidang pengajian lebih tertumpu kepada bidang Sains, Teknologi dan Matematik.

Satu kurikulum khas telah dibina dan pelajar akan mengambil kursus-kursus tahun pertama UKM yang dapat membantu mereka: (a) membina jati diri yang mantap, (b) meningkatkan kebolehan menjalankan penyelidikan, dan (c) meningkatkan pengetahuan dalam bidang Sains (Biologi, Kimia dan Fizik) dan Matematik. Pengendalian program ini akan melibatkan semua fakulti di UKM yang berasaskan sains dan teknologi termasuk Fakulti Pendidikan; Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina;Fakulti Sains dan Teknologi; Fakulti Perubatan; Fakulti Pergigian dan Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu. Pelajar akan bersama dengan pakar untuk melakukan penyelidikan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan masalah.

Pelajar yang tamat program ASASIpintar dan mencapai tahap kecemerlangan yang ditetapkan oleh UKM akan diterima masuk ke pelbagai fakulti di UKM. Oleh kerana mereka telah mengambil sebanyak 20 jam kredit kursus-kursus wajib universiti yang ditawarkan di UKM, mereka akan dapat memendekkan tempoh pengajian mereka dari tempoh yang diberikan untuk sesuatu bidang pengajian. Justeru, mereka akan dapat menamatkan pengajian mereka lebih awal dari pelajar biasa.

Untuk Maklumat Lanjut Sila Hubungi:

Cik Nastura Nasir,
Penolong Pendaftar Pusat Komunikasi Korporat, UKM
017 3198162 (Talian Bimbit),
03 8921 5151 (Talian Terus)

This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it