Pengerusi Dua Universiti Penyelidikan Bertukar Tempat

Cetak PDF

By Shahfizal Musa
Foto oleh Shahiddan Saidi


BANGI, 2 April 2012 – Pengurusi Lembaga Pengarah dua buah universiti penyelidikan, UKM dan USM (Universiti Sains Malaysia) Pulau Pinang telah bertukar tempat mulai 1 April semalam.

Mereka itu adalah Professor Emeritus Dato' Ir Dr Mohamad Zawawi bin Ismail yang berpindah ke UKM dari USM manakala Tan Sri Dr Zulkefli A. Hassan berpindah ke USM dari UKM.

Prof Zawawi akan berkhidmat dengan UKM selama tiga tahun hingga 31 Mac 2015.

Beliau juga pernah menjadi Pengerusi Lembaga Pengarah Inti Universal Holdings dan pernah menyandang jawatan Naib Canselor Universiti Malaysia Sarawak (Unimas).

Beliau yang berkelulusan ijazah pertama dan Ijazah Kedoktoran Kejuruteraan Elektronik dari Leeds University, England adalah tidak asing kepada UKM kerana pernah menjadi pensyarahnya dan menyandang jawatan Dekan Fakulti Kejuruteraan pada tahun 1989 dan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) pada 1991.

Sebelum lantikan terbarunya ini, Prof Zawasi telah menyandang pelbagai jawatan penting dengan kedua-dua pertubuhan awam dan sewasta. Beliau juga telah bertugas sebagai pakar rujuk dalam berbagai projek pembangunan negara.

Sebagai salah seorang pengasas Institut Sistem Microelektronik Berhad (MIMOS) pada 1985, beliau telah menerajui projek memperkenalkan internet kepada negara apabila mengurus projek RangKom pada tahun 1987. Waktu itu sambungan internet hanya diberikan kepada pihak tertentu sahaja. Hanya pada 1992 barulah rakyat Malaysia di sambungkan dengan dunia maya melalui perkhidmatan Jaring dan ini telah membawa perubahan besar kepada negara.

Prof Zawawi hari ini diberi taklimat penuh mengenai UKM oleh Naib Canselor, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan keempat-empat Timbalan Naib Canselor mengenai bidang tugas yang diamanahkan kepada mereka.

Dalam ucapannya selepas taklimat itu, Prof Zawawi berkata kehadiran beliau bukanlah untuk mengurus secara terperinci perjalanan universiti tetapi akan menyumbangkan pengalaman yang ditimbanya selama ini bekerja di sektor swasta dan kerajaan.

Beliau menjelaskan dari pengalamannya, beliau mendapati ada pemimpin yang mampu menjelaskan idea dan visi mereka dengan baik tetapi tidak dapat mengusahakan pelaksananya dengan baik.

Walaupun penting untuk mempunyai visi yang jelas untuk menjadi organisasi yang berprestasi tinggi namun ia perlu disampaikan dengan cara yang akan membangunkan semangat pekerja. Jurang komunikasi tidak harus wujud antara pemimpin dan orang yang akan melaksanakan, kata Prof Zawawi.

Prof Sharifah Hapsah dalam taklimatnya berkata Universiti kini bukan hanya gedung ilmu semata-mata tetapi sudah menjadi salah satu jentera penting dalam pembangunan ekonomi negara.

Maka itu universiti kini harus dapat bekerjasama dengan kerajaan, sektor swasta dan pelabur untuk mencapai matlamat negara. 

Salah satu cabaran UKM adalah untuk menghasilkan graduan yang bersemangat keusahawanan dan berinovasi yang mampu menjana pekerjaan sendiri dan tidak hanya bergantung untuk bergaji dengan majikan.

Dekan-Dekan Fakulti, Ketua Jabatan dan Ahli akademik UKM turut hadir di upacara taklimat itu.


Berita Kampus

Arkib Berita