Universiti Otonomi Boleh Adakan Projek Komersial Tanpa Tunggu Kelulusan

Rabu, 09 Mei 2012 11:24
Cetak PDF

Oleh Saiful Bahri Kamaruddin
Foto Shahiddan Saidi


BANGI, 7 Mei 2012 – Universiti yang di beri otonomi boleh melaksanakan projek komersial dengan pihak sewasta tanpa mendapat kelulusan Kementrian Pengajian Tinggi.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata terpulang kepada universiti terpilih itu memutus bagaimana mereka boleh melaksanakan usaha perkongsian saintifik yang menguntungkan dengan pihak swasta asalkan tidak mengganggu orang ramai atau alam sekitar.

Beliau menyifatkan kerjasama UKM dengan Syarikat Sime Darby Holdings dalam pelbagai bidang sebagai contoh terbaik kerjasama antara IPTA dengan pihak swasta dalam usaha mengkomersialkan penemuan penyelidikan yang boleh memberi faedah kepada orang ramai.

Beliau menyebut  rancangan pengunaan hampas kelapa sawit yang dilaksanakan kedua badan itu sebagai suatu projek lestari yang patut menggalakkan IPTA lain mencari rakan usahasama yang sesuai.

Datuk Saifuddin berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Perkongsian Pengajian Tinggi bersama Masyarakat dan Industri ASEAN, di UKM kelmarin.

Turut hadir ialah Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Dato’ Wira Dr Sharifah Hapsah Shahabudin.

Ketika sesi soal jawab, syarikat Sime Darby tidak menolak kemungkinan mengadakan usahasama lain dalam bidang penyelidikan alam sekitar, apabila ditanya mengenai pengeluaran biodiesel dari minyak kelapa sawit.

Anggota majlis Yayasan Sime Darby, Tan Sri Dr Wan Mohd Zahid Wan Nordin berkata pihaknya cuba menangani isu pemeliharaan alam sekitar dan lestari sambil meraih keuntungan.

Bagaimanapun, kata beliau, Sime Darby perlu ambil satu langkah demi satu langkah secara berhati-hati.

Wan Zahid mengaku bahawa Sime Darby Holdings tidak mempunyai cukup penyelidik saintifik dan memerlukan kepakaran institusi tempatan pada kos yang berpatutan.

Namun memang ada beberapa masalah yang harus diatasi, seperti pendekatan projek dan selisih faham antara penyelidik dan peniaga.

Dalam pada itu, tambah beliau, kepentingan masyarakat umum dan alam sekitar mesti dilindungi.

Peranan badan bukan kerajaan, NGO juga diberi perhatian.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Industeri dan Masyarakat) Prof Dato’ Saran Kaur Gill meyeru supaya sector swasta dan IPTA mendapat maklum balas daripada NGO mengenai pembangunan lestari sebelum projek dijalankan.

Prof Saran berkata ini untuk mengelakkan sebarang salah faham antara pihak IPTA, syarikat dan orang ramai.

Persidangan tiga hari itu disertai lebih 150 wakil institusi pengajian tinggi dan NGO dari rantau ini dan Amerika Latin.

Berita Kampus

Arkib Berita